Enam pelajar lanjutkan pengajian di UTB

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Enam orang pelajar daripada kumpulan kedua Program Bridging for Business (BriBUS) yang ditawarkan oleh Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dan Universiti Teknologi Brunei telah menamatkan program mereka di Kolej IGS pada 4 Julai lalu dan kini melanjutkan pengajian di UTB.

Pelajar-pelajar berkenaan ialah Dayangku Iman Aqeelah @ Dayangku Hana Aaliah binti Pengiran Haji Abdul Kadir, Dayang Sarah Syafiqah binti Sallehuddin, Tan Jun Wei, Awang Muhammad Al-Hadi bin Haji Abdul Jamal, Awang Khairul Danial Ikhwan bin Abdul Hadi dan Awang Abdul Hazim bin Haji Hasnan yang telah memulakan program berkenaan pada Mac lalu.

Program berkenaan direka sebagai jalan kepada pemohon yang kekurangan mata A Level atau IB untuk memenuhi keperluan kemasukan minimum universiti berkenaan.

BriBUS direka untuk melengkapkan pelajar-pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran asas serta pendedahan kepada program-program pengajian yang ditawarkan oleh Sekolah Perniagaan dan ia akan membolehkan para pelajar membangunkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk menjadi pelajar pengajian perniagaan yang efektif dan cekap.

Pelajar-pelajar berkenaan mengatakan bahawa program berkenaan sangat bermanfaat kepada mereka dalam mengukuhkan pengetahuan asas serta menambah pengetahuan dengan mempelajari pelbagai subjek baharu.

Salah seorang pelajar, Dayangku Iman Aqeelah mengulas bahawa walaupun semuanya sangat baharu baginya kerana tidak pernah mempelajari kebanyakan subjek, tetapi kuliah-kuliah berkenaan membantunya untuk memahami pengetahuan baharu.

Menurut beliau, para pensyarah dan rakan-rakan membantunya untuk mengatasi masalah tentang perkara yang tidak dapat difahaminya dan walaupun pengajian selama 14 minggu di Kolej IGS agak singkat, ia sangat bermakna kerana banyak perkara yang dilaluinya dan tidak diragukan lagi bahawa program berkenaan banyak membantunya sebagai pelajar yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan.

Bagi Tan Jun Wei yang telah mempelajari asas perniagaan dan perakaunan pada tahun-tahun sebelumnya, merasakan bahawa kursus berkenaan sangat berguna dan efektif dalam mengukuhkan asasnya dan membolehkannya memahami tanggapan salah mengenai beberapa teori.

Pelajar-pelajar yang telah menamatkan Program Bridging for Business dan berjaya untuk melanjutkan pengajian di UTB.