Enam pelajar peroleh pengalaman berharga di AS

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Enam orang pelajar negara yang bertanding dalam pertandingan Global Robotic H2O FLOW di Washington, Amerika Syarikat (AS), menamatkan penyertaan mereka dengan memperoleh tiga kemenangan, dua kekalahan dan satu seri.

Menariknya, mereka turut mara ke Pertandingan Special All Girls Team Exhibition yang dilancarkan oleh isteri kepada Presiden AS, Ivanka Trump.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Teknologi Brunei (UTB), Awangku Muhammad Rahimi bin Pengiran Haji Zahari berkata, dalam pertandingan itu, para peserta telah mempelajari mengenai masalah kekurangan air dan masalah pencemaran air di dunia.

Para peserta negara yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari sekolah swasta dan kerajaan serta institusi pengajian tinggi yang bersaing dari 17 hingga 18 Julai itu melahirkan rasa gembira untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif global yang unik untuk mempromosikan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Dalam cabaran ini, peserta Brunei membentuk hubungan dengan dua negara lain dan mencabar pasukan lain dari tiga negara.

Pasukan negara yang menyertai cabaran itu.
Pasukan negara yang menyertai cabaran itu.
Ketika pertandingan itu berlangsung.
Ketika pertandingan itu berlangsung.

Menurut Awangku Muhammad Rahimi, sebanyak 162 negara bertanding dalam cabaran global berkenaan dan usaha mereka dalam pertandingan itu akan membantu memberi inspirasi kepada lebih banyak pelajar di Brunei untuk mengambil pendidikan STEM.

Katanya, tenaga kerja STEM yang kuat adalah penting untuk membantu negara mencapai Wawasan Brunei 2035 yang mempunyai negara yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang untuk acara yang luar biasa, kerjasama yang terbaik dan ini hanya sebagai satu permulaan. Terima kasih juga kepada semua yang telah menyokong kami dari awal dengan masa, pembiayaan, sokongan dan inspirasi,” ujar Awangku Muhammad Rahimi.

Beliau turut berharap akan dapat menyertai pertandingan yang sama di Mexico City pada tahun depan.