Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Enam pelajar wakili Brunei bagi APTJSO-9

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Enam orang pelajar dan dua orang guru pengawas telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam 9th ASEAN Plus Three Junior Science Odyssey (APTJSO-9) yang diadakan secara dalam talian selama empat hari bermula 20 Jun hingga hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, penyertaan pasukan negara dalam acara berkenaan diselaraskan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), di mana acara dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura, Science Centre Singapura dan ASEAN+3 Center for the Gifted in Science (ACGS) dengan kerjasama NUS High School, Singapura, Society of International Gifted in Science (SIGS), Republik Korea dan Sekretariat ASEAN.

    Peserta Negara Brunei Darussalam telah dibahagikan kepada dua pasukan iaitu Pasukan Brunei A dan Pasukan Brunei B.

    Pasukan Brunei A dianggotai oleh Awang Muhammad Ilyas bin Haji Ilham Rohaidi; Dayang Allyshasha Rani bin Alymashrol dan Dayang Maryam Safwa binti Mazini dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) bersama guru pengawas, Dayang Nurul Syazana binti Ismail dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Belait.

    Pasukan Brunei B dianggotai oleh Dayang Batrisyia Haafizhah binti Kassim; Dayang Sofia binti Haji Mohamad Yani dan Dayang Syarah Rafeeqah binti Sharimin Hairul dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) bersama guru pengawas, Awang Mohammad Raymie bin Haji Othman dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.

    Enam orang pelajar dan dua guru pengawas yang menyertai APTJSO-9 secara dalam talian.

    Program APTJSO-9 yang membawa tema Building An Environmentally Sustainable Future disertai oleh seramai 84 orang pelajar dan 28 orang guru selaku guru pengawas dari 10 buah negara ASEAN+3 iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam, Republik Rakyat China, Republik Korea dan Sweden.

    Pada penyertaan kali ini, Pasukan Brunei A dan Pasukan Brunei B telah memenangi pingat gangsa dalam Cabaran Kemahiran Proses Sains.

    Pasukan Brunei A juga berjaya merangkul pingat gangsa dalam Cabaran Kelestarian.

    Bagi Pembentangan Projek Kumpulan Antara Disiplin, Dayang Allyshasha Rani dan Dayang Sofia memenangi pingat perak, manakala Dayang Syarah Rafeeqah mendapat pingat gangsa.

    Kenyataan menyatakan bahawa melalui program itu, para pelajar berpeluang untuk menyertai beberapa aktiviti dan sesi seperti mendengarkan ucaptama daripada pembentang yang dijemput, Cabaran Kemahiran Proses Sains, Bengkel Kelestarian STEM, melawat saintis, Pembentangan Projek Kumpulan Antara Disiplin serta Majlis Penutup dan Pertukaran Budaya.

    Para guru juga berpeluang untuk memupuk rangkaian dalam kalangan pendidik di rantau ASEAN+3 melalui perkongsian maya oleh sekolah-sekolah di Singapura mengenai usaha kemapanan serta berkongsi usaha kelestarian alam sekitar yang dilaksanakan oleh sekolah masing-masing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...