Enam suspek curi ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 11 JUN – Seramai enam lelaki berumur dalam lingkungan antara 21 hingga 46 tahun telah ditahan oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kelmarin kerana dipercayai terlibat dalam satu kes curi.

Penahanan kesemua suspek yang dilakukan oleh Daerah Polis Belait itu juga dikenal pasti oleh PPDB mempunyai kaitan berhubung dengan beberapa kejadian curi di Daerah Beliat, di mana beberapa barang curi telah berjaya ditemui semula.

Perkara tersebut dikongsikan semasa sidang media yang diadakan oleh Balai Polis Seria, mengenai kes kejadian curi yang berlaku di sebuah bangunan di kawasan Anduki, Seria, hari ini.

Hadir semasa sidang media yang diadakan di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Panaga Seria ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait Penguasa Polis, Handrie bin Haji Amin, dan Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait Timbalan Penguasa Polis, Pengiran Haji Abu Naba’a bin Pengiran Haji Yusof, merangkap Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Belait.

Kesemua suspek pada masa ini masih ditahan bagi siasatan selanjutnya.

Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait Penguasa Polis Awang Handrie semasa sesi sidang media di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Panaga Seria. – Gambar serahan PPDB