KUALA LUMPUR, 6 OKT – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan Etihad Airways, Jazeera Airways, Jetstar, Qantas, Qatar Airways dan Royal Jordanian akan melaksanakan aplikasi Pas Perjalanan IATA dalam pelancaran secara berfasa melibatkan keseluruhan rangkaian syarikat penerbangan.
Dalam satu kenyataan, IATA berkata enam syarikat penerbangan berkenaan menyertai Emirates Airline sebagai pelopor pelaksanaan aplikasi mudah alih ini yang dapat menerima dan mengesahkan pelbagai hasil ujian COVID-19 dan sijil vaksin digital.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh menjelaskan pas perjalanan itu kini memasuki fasa operasi setelah menjalani ujian selama berbulan-bulan.
“Aplikasi ini telah terbukti sebagai alat yang berkesan untuk menguruskan masalah kesihatan perjalanan yang kompleks yang diperlukan oleh kerajaan.
Pada masa ini, sijil vaksin dari 52 buah negara, yang mewakili sumber 56 peratus perjalanan udara global, dapat diuruskan menggunakan aplikasi.
IATA berkata ini akan meningkat kepada 74 buah negara, mewakili 85 peratus laluan global menjelang akhir November.
“Pas Perjalanan IATA, penyelesaian digital untuk menguruskan dokumen kelayakan kesihatan perjalanan COVID-19, dijangka dapat memainkan peranan penting dalam pemulihan industri penerbangan daripada kesan COVID-19,” tambahnya. – Bernama