Enggan ambil risiko, Stacy hanya benar anak-anak bermain di rumah

Meskipun kerajaan sudah memberi kebenaran untuk membawa anak-anak kecil melakukan aktiviti luar namun penyanyi Stacy Anam enggan mengambil risiko memandangkan mereka mudah terdedah untuk dijangkiti COVID-19.

Menurut Stacy atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam, 30, dia hanya membenarkan dua orang anaknya iaitu Bella De Luna Valentina, 8 dan Eshaal yang kini berusia tiga tahun bermain di rumah sahaja.

“Kalau ikutkan memang kerajaan sudah membenarkan ibu bapa bawa anak keluar rumah tapi saya tak berani lagi nak bawa anak-anak lakukan aktiviti luar. Sebab mereka dalam golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak COVID-19. Jadi, saya tidak mahu mengambil risiko itu. Memang kesian melihat mereka tak dapat keluar rumah.

“Tapi demi keselamatan, saya terpaksa juga biarkan mereka bermain di dalam rumah sahaja. Saya jadikan rumah tempat permainan mereka supaya tak ada rasa bosan,” kata Stacy kepada mStar.

Penyanyi lagu Aku Kau Dan Muzik itu ditemui ketika sesi rakaman sebuah program realiti di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Stacy mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Akim Ahmad pada 5 Februari 2016.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Eshaal dan seorang anak angkat, Bella De Luna Valentina yang dijaga sejak kecil lagi. – Agensi

Stacy hanya membenarkan anak-anaknya bermain di rumah sahaja. – Agensi