SINGAPURA, 16 NOV – Singapore Scoot mengesahkan berlaku satu insiden membabitkan penerbangan TR285 dari Bali ke Singapura pada Isnin mengakibatkan pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah itu terpaksa mendarat menerusi percubaan kedua di Lapangan Terbang Changi.
“Disebabkan kelakuan tidak terkawal sekumpulan penumpang termasuk keengganan memasang tali pinggang keledar semasa mendarat, kapten kami mengambil langkah sewajarnya demi keselamatan penerbangan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan sebagai respons terhadap video TikTok mengenai insiden itu.
Scoot memaklumkan penerbangan itu mendarat dengan selamat semasa percubaan kedua di Lapangan Terbang Changi dan penumpang yang terlibat diiring keluar dari pesawat oleh pihak berkuasa lapangan terbang bagi siasatan lanjut.
Menurut Unit Singapore Airlines, “Kesejahteraan pelanggan dan kakitangan menjadi keutamaan dan pihaknya tidak membenarkan sebarang tingkah laku yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan.”
Scoot memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana penumpang yang mungkin membahayakan keselamatan pelanggan dan kakitangannya.
“Scoot dengan ikhlas memohon maaf atas gangguan dan kesulitan yang berlaku kepada pelanggan kami. Memandangkan siasatan masih dijalankan, kami menggalakkan orang ramai untuk mengelak membuat spekulasi,” menurut kenyataan itu.
Dalam video itu, satu pengumuman dipercayai dibuat oleh kapten memaklumkan penumpang bahawa beliau memutuskan terpaksa melengahkan pendaratan dan akan membuat percubaan kali kedua untuk mendarat. – Bernama