Enggan patuhi peraturan, tindakan tatatertib akan dikenakan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan kakitangan kerajaan yang tidak mahu menerima suntikan vaksinasi di atas kemahuan peribadi dan juga tidak melakukan ujian ART seperti yang diarahkan sebelum memasuki premis pekerjaan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menegaskan, mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan tidak dibenarkan masuk sama sekali ke pejabat masing-masing dan dalam erti kata lain merujuk kepada tidak hadir.

“Maka dalam hal ini, menurut syarat-syarat perkhidmatan awam akan mengambil tindakan tatatertib sewajarnya dengan dikira tidak hadir bekerja,” tekan Yang Berhormat Dato semasa memberikan penjelasan mengenainya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.