BEIJING, 21 Jun – Bekas kapten David Beckham meramalkan bahawa England akan bermain menentang pasukan Lionel Messi, Argentina di final Piala Dunia, dengan melihat pada peningkatan optimis mengenai peluang england selepas permulaan positif di Rusia.
Beckham membuat kenyataan itu ketika ditemui di acara promosi di China selepas England menewaskan Tunisia 2-1 dalam perlawanan pembukaan, meningkatkan peluang mereka untuk mara ke psuingan kalah mati.
England sudah lama terbantut di pentas besar dan kali terakhir mereka mara ke suku akhir Piala Dunia adalah pada tahun 2006, ketika Beckham menjadi kapten. Satu-satunya gelaran Piala Dunia mereka adalah pada tahun 1966, apabila mereka menewaskan Jerman di Wembley.
“Saya percaya Argentina akan bermain menentang England di final,” kata Beckham di acara itu bagi mempromosikan liga bola sepak kolej terbesar di China.
“Saya fikir jawapan saya adalah jelasnya England akan memenangi kejohanan itu, namun itu adalah kerana saya percaya pada negara saya,” tambahnya.
Tetapi bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu, memberi amaran bahawa laluan di depan skuad Gareth Southgate adalah sukar.
“Saya sangat gembira kami memenangi perlawanan pertama dalam kumpulan,” katanya. “England adalah pasukan muda, mereka masih belum mempunyai banyak pengalaman dan laluan ke Piala Dunia akan menjadi semakin sukar kerana terdapat banyak pasukan bagus yang bersaing di Rusia.” Penilaian Beckham mungkin juga dipengaruhi dengan pergelutan beberapa pasukan besar di awal kejohanan, termasuk kemenangan Mexico ke atas juara Jerman. – AFP