England bantai Hungary 4-0

BUDAPEST, 3 SEPT – Pasukan England berjaya mengalahkan Hungary di Budapest, awal pagi tadi dengan empat jaringan pada separuh masa kedua sekaligus membawa pasukan kendalian Gareth Southgate menuju kelayakan di Piala Dunia 2022 di Qatar selepas dibayangi dengan kelakuan peminat mengeluarkan kata-kata kesat.

Raheem Sterling berjaya memecah kebuntuan 10 minit sebelum separuh masa kedua manakala Harry Kane dan Harry Maguire menjaringkan gol melalui tandukan dan Declan Rice melengkapkan kemenangan 4-0 pada lewat perlawanan.

England bergelut untuk menembusi benteng pertahanan Hungary namun gol pada separuh masa kedua memberi makna mereka berjaya melepasi halangan mudah pertama mereka sejak tewas di aksi final Euro 2020 kepada Itali menerusi penentuan penalti.

“Kemenangan mudah semasa akhir perlawanan,” kata Southgate selepas perlawanan. “Saya sangat berpuas hati, malah pada separuh masa pertama kami mengawal perlawanan, namun kami gagal membuat hantaran di dalam kawasan kotak penalti,” tambahnya.

The Three Lions kini memungut 12 mata penuh daripada empat perlawanan, mempunyai kelebihan lima mata berbanding Poland, di tempat kedua, yang berjaya menewaskan Albania 4-1 kelmarin dan akan melayani kunjungan England di Warsaw Rabu depan.

Peminat England tidak dapat membuat perjalanan ke Hungary, namun lebih 60,000 peminat pasukan tuan rumah mencetuskan suasana bermusuhan di Puskas Arena untuk pasukan pelawat.

Sebelum perlawanan bermula, pemain England melutut sebagai tanda memberi kesedaran mengenai ketidakadilan perkauman, akan tetapi ia disusuli dengan cemuhan meskipun jurulatih Hungary, Marco Rossi meminta peminat untuk menjaga kelakuan sebelum perlawanan.

Selepas Sterling menjaringkan gol, peminat melontarkan cawan plastik ke arah pemain tersebut kemudian mencemuhnya sepanjang perlawanan. Sementara itu, suar yang bernyala dilontar berhampiran padang ketika Maguire meraikan gol. Southgate berkata insiden seumpamanya ‘tidak boleh diterima langsung’. – AFP

Reaksi Declan Rice meraikan gol bersama rakan sepasukan semasa pertemuan menentang Hungary di Budapest, kelmarin. – AP