England benam Montenegro

LONDON, 15 NOV – Pengendali England, Gareth Southgate gembira dengan ‘kekejaman’ skuad bimbingannya yang membelasah Montenegro 7-0, awal pagi tadi sekali gus melangkah ke pusingan akhir Euro 2020 dengan bergaya pada perlawanan ke-1,000 Three Lions.

Sekali pun tanpa Raheem Sterling, yang diketepikan Southgate awal minggu ini susulan pergaduhan dengan rakan sepasukan, Joe Gomez, persembahan yang ditampilkan England meletakkan mereka antara calon menjulang trofi Kejuaraan Eropah (Euro) tahun depan.

Penyerang Tottenham, Harry Kane mendaki ke tangga keenam senarai penjaring terbanyak England selepas meledak hatrik pada babak pertama yang melonjakkan jumlah jaringannya bagi kempen kelayakan kepada 11 gol dalam tujuh perlawanan.

Alex Oxlade-Chamberlain, Marcus Rashford, jaringan sendiri Aleksandar Sofranac dan gol pertama Tammy Abraham dalam kancah antarabangsa melengkapkan jumlah jaringan ketika England mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A dengan rekod meledak 33 gol daripada tujuh aksi.

“Sebelum ini kami mungkin bergelut menentang pasukan di ranking bawahan yang bertahan menggunakan ramai pemain, tetapi kami memiliki pemain yang boleh mengucar-kacirkan pasukan itu dengan corak pemain yang boleh melakukannya,” kata Southgate.

“Kami sudah layak dan melakukannya secara klinikal.”

Selepas mengharungi kontroversi yang tidak dijangka pada minggu ini dengan tindakan Southgate mendedahkan hukuman terhadap Sterling kepada umum dikritik, kemenangan yang bergaya itu jelas satu kelegaan.

“Kualiti permainan menyerang kami cemerlang,” kata Southgate. “Kami memang dijangka akan memenangi peringkat kumpulan tetapi kami jelas mengucar-kacirkan pasukan lawan.”

Begitupun, timbul sesuatu yang kurang enak di sebalik persembahan hebat England apabila pertahanan Liverpool, Gomez diejek segelintir 77,000 penyokong ketika dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat permainan. – AFP

Harry Kane semasa beraksi pada perlawanan menentang Montenegro di Stadium Wembley di London, kelmarin. – AP