Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Bukayo Saka menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertama England menentang pasukan Iran pada edisi Piala Dunia FIFA 2022 yang berlangsung malam tadi di Stadium Antarabangsa Khalifa.
Perlawanan berkesudahan dengan keputusan England menang 6–2 ke atas Iran.
Dengan penampilan bertenaga skuad kendalian Gareth Southgate, England memberi tekanan kepada pasukan lain dalam Kumpulan B iaitu Wales dan Amerika Syarikat, tambahan lagi kedua-dua pasukan berkenaan turut gagal mendapatkan tiga mata penuh pada perlawanan pertama mereka pada awal pagi tadi setelah terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1.
Pada separuh masa pertama, pasukan England menunjukkan kesungguhan dan corak permainan yang menarik sekali gus mendahului pasukan Iran dengan jaringan 3-0 yang dihasilkan oleh pemain sensasi muda, Jude Bellingham pada minit ke-35 perlawanan di ikuti dengan bintang Arsenal, Bukayo Saka menambah jaringan pada minit ke-43 dan Raheem Sterling pada masa tambahan babak pertama.
Sekali lagi Bukayo Saka berjaya mencetak gol keduanya pada minit ke-62 yang menjadikannya sebagai pemain England termuda yang berjaya menjaringkan dua gol dalam Piala Dunia Qatar.
Namun, pemain Iran, Mehdi Taremi berjaya membolosi gawang pasukan England selang seminit setelah gol keempat England dan menjadikan keputusan kepada 4-1.
Beberapa minit kemudian, bintang Manchester United, Marcus Rashford menambah derita pasukan Iran dengan jaringan menariknya sebelum Jack Grealish melengkapkan gol keenam buat England pada minit ke-90.
Namun pasukan Iran dihadiahkan dengan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan dengan bantuan VAR yang berjaya disudahi dengan baik oleh Mehdi Taremi menjadikan gawang Jordan Pickford dibolosi dua kali.
Sementara itu, seorang penyokong pasukan England di Negara Brunei Darussalam, Muhammad Khairulanwar @ Muhammad Amin bin Haji Ali Rahman berkata, “Alhamdulillah, pasukan England berjaya mempamerkan prestasi yang baik pada perlawanan malam tadi meskipun setelah menurunkan pemain pertahanan yang penuh kontroversi, Harry Maguire.
“Harry Maguire pada babak pertama perlawanan tidak disangka mempamerkan permainan yang baik dan menyerlah sehinggakan dia turut membantu menyumbang gol kedua England.
“Diharapkan England dapat meneruskan momentum yang baik ini,” katanya.