SAINT PETERSBURG, 27 Jun – Penjaga gol England, Jordan Pickford berkata mengekalkan momentum di Piala Dunia adalah lebih penting berbanding hanya berpuas hati dengan keputusan seri menjelang perlawanan genting menentang Belgium awal pagi Jumaat ini.
Kedua-dua pasukan sudah dijamin slot ke 16 pasukan terakhir, dengan menamatkan di kedudukan teratas Kumpulan G, pemenang di Kaliningrad mungkin bakal menempuh jalan yang lebih sukar di pusingan kalah mati.
Jerman atau Brazil mungkin menjadi lawan suku akhir bagi pasukan yang menjuarai kumpulan, dengan jurulatih Belgium, Roberto Martinez menyatakan bahawa dia mungkin menggilirkan 10 pemainnya bagi menentang England.
“Jika itu yang mereka rasakan, ia akan menjadikan tugas saya mudah,” kata Pickford di pangkalan latihan England di Repino.
“Jika mereka tidak mahu menjaringkan gol, maka tidak akan ada banyak percubaan. Kami sudah bersedia menghadapi mereka dan kami bersedia untuk menang dalam perlawanan itu. Kami mahu mengakhirinya sebagai juara kumpulan.”

Satu keputusan seri bermakna kedudukan pertama dan kedua diselesaikan dengan mata disiplin, di mana England mempunyai dua kad kuning, sementara Belgium tiga kad kuning.
Skuad Gareth Southgate berada dalam prestasi terbaik selepas menewaskan Tunisia dalam perlawanan pembukaan sebelum membelasah Panama 6-1 Ahad lalu.
“Ia adalah mengenai momentum dan kami mahu mengekalkan momentum itu,” kata Pickford. “Kami hanya mahu terus menang dan menang. Itu akan meletakkan kami dalam keadaan yang bagus.”
Sementara itu pengenalan sistem video bantuan pengadil (VAR) telah mencetuskan peningkatan dramatik dalam pemberian penalti.
Harry Kane telah menjaringkan dua gol penalti ketika menentang Panama, sementara Pickford ditewaskan oleh Ferjani Sassi, meskipun hujung jarinya sudah menyentuh bola.
Pickford berkata dua jaringan Kane, yang menuju ke sudut atas kiri gawang, mustahil untuk diselamatkan. – AFP

































