PARIS, 14 Jun – Ousmane Dembele menghasilkan persembahan luar biasa dengan menjaringkan gol penentuan ketika 10 pemain Perancis menewaskan England 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Paris awal pagi tadi, di mana video pembantu pengadil memainkan peranan utama.
Kapten England, Harry Kane telah menjaringkan dua gol buat pasukan pelawat di Stade de France, termasuk penalti di awal separuh masa kedua.
Penalti itu hadir selepas pengadil dari Itali memberikan sepakan penalti bagi faul ke atas Dele Alli dan video pembantu, diuji di sini, membawa kepada kad merah ke atas Raphael Varane.
Keputusan itu mencetuskan kontroversi, selepas FIFA mengubahsuai peraturan pada tahun lepas untuk mengurangkan kes-kes pemain dilayangkan kad merah kerana menafikan peluang menjaringkan gol, melainkan kesalahan dibuat dengan sengaja.
Rakan sepasukan Varane dan para penyokong Perancis tidak bersetuju dengan keputusan itu, ynag hadir selepas jaringan Samuel Umtiti dan Djibril Sidibe bagi membatalkan jaringan pembukaan Kane.
Tetapi kebangkitan Perancis dengan kekurangan seorang pemain telah menjadi sumber kekecewaan bagi pengurus England, Gareth Southgate.
“Kami seharusnya mendapat keputusan baik. Dalam tempoh 90 minit kami telah menyaksikan beberapa perkara yang kami lakukan dengan baik iaitu kami memberikan ancaman dan mencipta banyak peluang, dan malah kami juga menyaksikan apa yang perlu lakukan dengan lebih baik,” katanya.
Sementara jurulatih Perancis, Didier Deschamps sangat gembira untuk melihat pasukannya kembali menikmati kemenangan selepas tewas dalam kelayakan Piala Dunia kepada Sweden.
“Ia selalunya bagus menamatkan perlawanan dengan kemenangan, terutamanya selepas satu kekalahan. Kami bermain dengan 10 pemain, jadi pujian diberikan kepada pemain, kerana mereka menentang pasukan England yang bagus,” katanya.
Southgate membuat enam perubahan dalam kesebelasan utamanya susulan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan kelayakan di Scotland, sementara Kane sekali lagi memakai lilitan kapten. – AFP