England tersungkur, Maguire tambah derita

PARIS, 15 OKT – Prospek England untuk kembali ke final Liga Negara-negara UEFA terjejas ketika pasukan Gareth Southgate tewas 1-0 di tempat sendiri kepada Denmark semalam.

Harry Maguire dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama di Stadium Wembley selepas dilayangkan dua kad kuning dan Christian Eriksen kemudian menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-35 dengan penampilan ke-100nya untuk meletakkan pasukan Denmark di depan.

Denmark terus bertahan untuk mengekalkan kedudukan sekali gus mengalahkan pasukan tuan rumah buat pertama kali di England dalam dua tahun.

Pemain Chelsea, Reece James juga dilayangkan kad merah selepas wisel penamat.

“Dia adalah pemain terbaik, dia adalah sebahagian besar dari apa yang kita lakukan dalam pasukan,” kata Southgate untuk mempertahankan Maguire, yang telah bergelut bersama Manchester United sejak terlibat dalam pergaduhan di pulau Mykonos, Greece pada bulan Ogos lalu.

“Dia mengalami masa yang sangat sukar dan sangat mencabarnya tetapi dia cukup besar untuk mengatasinya.”

England mara ke final empat pasukan Liga Negara-negara yang pertama tahun lalu tetapi peluang mereka untuk sampai ke sana kali ini sangat meragukan dengan Belgium kini berada dua mata di depan pasukan Southgate di kedudukan teratas Liga A, Kumpulan 2.

Belgium menang 2-1 menentang Iceland semalam dengan Romelu Lukaku sebagai wira Belgium yang menjaringkan dua gol. Mereka akan menjadi tuan rumah menentang England pada perlawanan seterusnya yang akan berlangsung di Brussels pada 15 November depan. – AFP

Aksi Christian Eriksen dari Denmark menjaringkan gol menerusi sepakan penalti semasa perlawanan Liga Negara-negara UEFA antara England dan Denmark di Stadium Wembley di London, England, semalam. – AP