England tidak akan gentar

LONDON, 23 JUN – England menduduki tempat pertama dalam Kumpulan D Euro 2020 dengan kemenangan 1-0 menentang Republik Czech, sementara Luka Modric menjulang Croatia ke peringkat 16 terakhir selepas mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Scotland, awal pagi tadi.

Kemenangan di Wembley bermakna England mungkin berdepan dengan pasukan tempat kedua dalam Kumpulan F pada 29 Jun, sama ada juara dunia Perancis, juara bertahan Portugal atau Jerman pada peringkat kalah mati. Pemain England, Raheem Sterling berkata England tidak gentar menentang mana-mana pasukan pada peringkat 16 terakhir Euro 2020 selepas menewaskan Republik Czech.

England dikritik hebat selepas tumpul ketika seri 0-0 dengan Scotland tetapi kembali bangkit dengan serangan lebih berbisa pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Saya fikir terdapat aspek positif dalam perlawanan ini,” kata Sterling yang juga menjaringkan gol untuk England ketika menang 1-0 ke atas Croatia dalam aksi pertama.

“Kami menguasai bola dengan lebih baik hari ini. Ia memberi kami lebih pilihan serangan. Kami tutup ruang, bermain dengan bagus dan berjaya mendapatkan gol yang amat diperlukan.”

Aksi Sterling (kiri) ketika menjaringkan gol tunggal pasukannya semasa menentang Republik Czech di Stadium Wembley, London, awal pagi kelmarin. – AP

Sterling turut memuji Jack Grealish dan pemain terbaik perlawanan Bukayo Saka yang dibawa masuk untuk menambah sengat di bahagian serangan.

“Memang berkesan ada pemain seperti ini di sekitar anda yang boleh mencipta peluang,” katanya.

“Pemain berbeza diperlukan untuk perlawanan berbeza dan kedua-duanya terbukti berkesan dan menjalankan tugas dengan baik.

“Paling penting kami juara kumpulan. Ini kejohanan bola sepak dan kami perlu lakukan seperti dirancang.”

Penyerang Manchester City itu tidak bimbang dengan aksi peringkat 16 terakhir di Wembley minggu depan. – AFP