Wednesday, February 1, 2023
32.3 C
Brunei

-

Enjin kereta musnah terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Keseluruhan enjin sebuah kereta musnah dalam insiden kebakaran di kawasan letak kereta berdekatan sebuah restoran di pusat komersial, Kampung Mentiri pada tengah hari, 18 Oktober lalu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa seramai 13 orang anggota dari Balai Bomba Mentiri yang diketuai oleh ABK 147 Shari bin Suhai, dikejarkan ke lokasi kejadian pada pukul 12:27 tengah hari.

Turut hadir ialah Stesen Komander Balai Bomba Mentiri, SO Pengiran Haji Ali Abdul Rahman bin Pengiran Haji Halus. Apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api besar telah membakar keseluruhan enjin kereta jenis sedan berkenaan yang berada dalam keadaan parkir.

Anggota bomba segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadamkan kebakaran tersebut di mana api dapat dipadamkan dalam masa 7 minit.

Dalam kejadian berkenaan, pemandu serta penumpang kereta telah pun keluar sebelum pihak bomba sampai dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

JBP terus menyarankan orang ramai khususnya pengguna untuk memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan, seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

Pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah, kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

Mereka turut disarankan untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya lain.

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan enjin sebuah kereta jenis sedan dalam insiden berdekatan sebuah restoran di kawasan komersial di Kampung Mentiri pada 18 Oktober lalu. – Gambar serahan JBP
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korban bom masjid meningkat lebih 90

PESHAWAR, PAKISTAN, 31 JAN – Pengeboman berani mati yang berlaku di masjid dalam ibu pejabat polis daerah Peshawar dan kawasan kerajaan di barat laut...
- Advertisment -