Enjin kereta terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) terus menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

Saranan itu dibuat oleh JBP dalam kenyataannya, di sini, susulan insiden kebakaran kereta di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, Temburong pada pukul 6:47 petang, kelmarin.

Menurut JBP, enam orang anggota bomba dan penyelamat dengan sebuah jentera dari Balai Bomba Rataie yang diketuai oleh ABK 628 Esmanto bin Haji Abdul Rahman telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan bahawa api berkenaan telah dapat dipadamkan oleh orang ramai sebelum ketibaan pihak bomba.

Kebakaran itu melibatkan keseluruhan bahagian enjin sebuah kereta jenis SUV yang diletakkan di kawasan rumah dan anggota bomba dan penyelamat bertindak memutuskan sistem bateri dan bersiap sedia dengan membawa jet hos 38mm serta dua alat pemadam api bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kenderaan itu merupakan seorang warganegara tempatan dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan serta punca api dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Dalam kenyataan itu, JBP turut menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

Bahagian enjin sebuah kereta jenis SUV dalam terbakar keseluruhannya dalam insiden kebakaran kereta yang berlaku di RPN Kampung Rataie. – Gambar serahan JBP