Enjin kereta terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Satu kejadian kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku berdekatan dengan Lebuhraya Hassanal Bolkiah, hari ini, di mana kebakaran melibatkan bahagian enjin kereta tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 10:58 pagi dan enam orang anggota dari Balai Bomba Berakas yang diketuai oleh DSO Haji Jublee bin Haji Jalil telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, mereka mendapati kebakaran telah dipadamkan oleh orang awam menggunakan air dalam botol dan hanya melibatkan sebahagian enjin.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa pemandu bersama dua orang penumpang warga tempatan telah pun keluar dari kereta berkenaan dengan selamat.

Untuk memastikan api telah padam keseluruhan, anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan satu jet hose reel dari jentera bomba, manakala itu, punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

JBP dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai untuk meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan kebakaran kereta, memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian yang dibuat adalah dengan cara yang betul, yang tidak mendatangkan bahaya kebakaran, dinasihatkan untuk mempunyai alat pemadam api di dalam kereta serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Orang ramai turut disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hendaklah menghubungi terus Pusat Gerakan JBP di talian 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat memastikan kebakaran padam keseluruhannya. – Gambar serahan JBP