Enjin terbakar, pesawat selamat buat pendaratan kecemasan

PATNA, INDIA, 19 JUN – Sebuah pesawat menuju New Delhi yang membawa 185 penumpang membuat pendaratan kecemasan hari ini di timur bandar Patna, India, selepas enjin kirinya terbakar semasa dalam perjalanan, kata para pegawai.

Para penumpang pesawat domestik yang dioperasi oleh syarikat penerbangan komersial SpiceJet telah dipindahkan dengan selamat sebaik saja juruterbang berpatah balik ke lapangan terbang Patna sejurus selepas berlepas.

“Penerbangan kembali ke lapangan terbang Patna selepas penduduk tempatan (di daratan) menyedari adanya api di kiri sayap pesawat itu dan memaklumkan kepada pegawai lapangan terbang,” kata majistret daerah, Chandrashekhar Singh memberitahu wartawan.

“Semua 185 penumpang selamat dipindahkan ke kapal lain. Punca kebakaran adalah masalah teknikal. Pasukan jurutera masih memeriksa,” tambah Singh.

Seorang penumpang memberitahu wartawan bahawa kedengaran bunyi bising dalam pesawat semasa 15 minit pertama selepas berlepas.

“Juruterbang mengumumkan bahawa ada beberapa masalah dan kami akan berpatah balik ke Patna…ia sangat-sangat menakutkan,” kata Pacifica, memberi satu nama.

Burung yang melanggar enjin mungkin telah mencetuskan kebakaran, kata penyiar berita tempatan NDTV memetik sumber penerbangan sebagai berkata. – AFP