Enot berniaga untuk tambah pendapatan

Selagi ada kudrat dan ruang mencari rezeki, pelakon, pelawak dan ahli perniagaan, Enot (gambar bawah) tak betah duduk diam tanpa melakukan kerja.

Sejak lebih 10 tahun, Enot memilih meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga apa sahaja yang boleh menambah punca pendapatan.

“Ada yang tanya saya berniaga apa sebenarnya?

“Ikutkan saya jual daripada makanan sampailah produk kesihatan dan kecantikan. Saya tak ada spesifik.

“Alhamdulillah, rezeki ada sahaja dengan berniaga. Tak banyak, sikit pun sudah memadai untuk saya meneruskan hidup sebagai ibu tunggal.

“Macam sekarang, saya berniaga dari rumah di Keramat. Saya pun tak kemaruk bantuan ketika pandemik COVID-19 ini.

“Kalau ada… adalah. Tak ada, saya percaya rezeki bantuan untuk orang yang lebih memerlukan,” katanya kepada media.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hingga fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Enot atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah tidak terkesan kerana kehidupannya berlangsung seperti biasa.

“Perancangan nak fokus berniaga dari rumah, tahun ini. Saya nak elak keluar berjalan sangat mempromosikan barangan seperti tahun sebelumnya.

“Tak sangka diuji dengan COVID-19 hingga perlu dihadkan pergerakan. Dari awal PKP, saya fokus berniaga sambal ikan bilis dan daging dendeng. Masuk bulan puasa, saya fokus berniaga biskut, kek dan hamper raya. Sekarang, saya kembali berniaga pemanis mulut dan kek. Pada masa sama, saya selit jual pelbagai produk.

“Saya dibantu anak kedua dan sepupu di rumah. Masa PKPB, saya sampai terpaksa guna dua pekerja untuk membantu urusan di rumah. Kalau berniaga memang tak boleh putus usaha. Tak usaha mana rezeki nak datang?,” katanya. – Agensi