SAN FRANCISCO, 1 OKT – Epic Games, pembuat permainan video amat popular, Fortnite, berkata baru-baru ini ia akan mengurangkan tenaga kerjanya untuk menjimatkan wang tetapi akan meneruskan perbelanjaan dalam tindakan undang-undangnya ke atas kedai aplikasi Apple dan Google.
Epic memberhentikan kira-kira 16 peratus pekerjanya, berjumlah kira-kira 830 pekerja, menurut salinan e-mel yang dihantar kepada kakitangan oleh Ketua Eksekutif, Tim Sweeney.
“Untuk sementara waktu sekarang, kami telah membelanjakan lebih banyak wang daripada yang kami peroleh, melabur dalam evolusi Epic seterusnya dan mengembangkan Fortnite sebagai ekosistem yang diilhamkan oleh metaverse untuk pencipta,” kata Sweeney kepada pekerja.
“Saya telah lama berasa optimis bahawa kita boleh meneruskan peralihan ini tanpa pemberhentian, tetapi apabila difikirkan semula saya melihatnya sebagai tidak realistik.”
Pertumbuhan Fortnite telah kembali pulih, tetapi didorong oleh kandungan pencipta yang melibatkan perkongsian hasil pendapatan yang besar oleh syarikat, menurut Sweeney.
“Kejayaan dengan ekosistem pencipta adalah pencapaian yang hebat, tetapi ia bermakna perubahan struktur utama kepada ekonomi kita,” kata Sweeney, yang mengasaskan syarikat itu pada 1990an.
Menurut ketua eksekutif itu, pemberhentian pekerja adalah satu-satunya cara untuk syarikat itu menstabilkan kewangannya dan mungkin mengakibatkan beberapa penangguhan pembangunan. – AFP