Monday, November 28, 2022
23.1 C
Brunei

-

Episcia liar berdaun cantik

SPESIES asli dan liar dari Genus Episcia dalam keluarga tumbuhan Gesneriaceae merupakan sejenis tanaman yang merayap atau menjalar yang mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.

Walaupun daunnya hanya berwarna hijau polos dengan sedikit corak berwarna hijau muda pada urat-urat daunnya tetapi ia tetap cantik dan menarik untuk digantung.

Bunganya yang berbentuk ala serombong atau trumpet itu agak kurang menarik berbanding daunnya.

Pembiakan

Pada dasarnya, ia senang untuk dibiakkan melalui kaedah keratan hujung batang yang berdaun atau anak sulurnya.

Untuk menanamnya, mulakan dengan langkah memotong hujung batang berdaun atau anak sulur pokok yang tumbuh dari batang pokok induknya.

Bunga Episcia berbentuk ala serombong atau trompet.
Bunga Episcia berbentuk ala serombong atau trompet.
Daun genus Episcia berwarna hijau polos dengan corak berwarna hijau muda pada urat daunnya.
Daun genus Episcia berwarna hijau polos dengan corak berwarna hijau muda pada urat daunnya.

Tanam dalam medium tanaman yang bersesuaian. Pokok Episcia sesuai dengan medium tanaman yang lembap berhumus tinggi tetapi bersaliran baik di mana air siraman mudah mengalir keluar.

Campuran medium yang disyorkan adalah medium untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 merangkumi tanah peroi, bahan organik atau tanah gembur dan pasir sungai.

Penjagaan

Episcia liar sukakan kepada keadaan medium tanaman dan persekitaran yang lembap sentiasa. Siram sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan petang di hari panas.

Elakkan medium tanamannya kering. Sembur daunnya dengan air bagi mengekalkan kelembapan di persekitarannya.

Siram bila perlu sahaja di hari hujan jika pokok berkenaan terus terdedah kepada titisan air hujan.

Pokok ini perlu didedahkan kepada cahaya yang terlindung. Pendedahan kepada cahaya pagi dan petang adalah sesuai untuknya tetapi elakkan dari pendedahan kepada cahaya terik tengah hari yang boleh melecurkan daunnya.

Gunakan baja organik seperti najis ayam atau kelawar yang telah diproses. Sebagai alternatif baja cecair atau baja garam larutan juga boleh digunakan.

Di samping itu, gunakan mengikut arahan seperti disyorkan pada pek baja yang digunakan. Baja bijian kurang sesuai untuk membajai pokok ini kerana ia boleh melecurkan daun pokok ini apabila terkenanya.

Idea pameran

Pokok dewasa yang telah mengeluarkan sulur anak boleh digantung agar anak sulur berkenaan dapat tumbuh cantik memanjang dan terjurai ke bawah pasu.Namun ia juga sesuai ditanam dan dipamerkan di tanah.

Ia sangat sesuai ditanam sebagai pokok penutup bumi di kawasan lapang yang luas bagi mengelakkan hakisan tanah ketika hari hujan.

Di samping itu, ia juga sesuai digunakan sebagai salah satu pokok dalam gubahan bersama pokok berbunga atau berdaun dalam pasu untuk digantung atau dipamerkan di tanah.

Potong daun–daun tua atau yang telah layu atau mati bagi mengekalkan pokok yang kemas dan cantik sentiasa.

Jika didapati pokok kurang subur walaupun dibaja dan disiram secukupnya lakukan pemasuan semula atau membuat keratan setiap sulur anak benihnya untuk ditanam dalam pasu atau beg politena dengan medium yang baru.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -