LONDON, 29 MEI – Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) bersetuju untuk menyambung musim 2019-20 pada 17 Jun, dengan syarat semua langkah keselamatan disediakan bagi mengelak penularan COVID-19.
Aston Villa menentang Sheffield United dan Manchester City bertemu Arsenal – akan membuka tirai pada tarikh berkenaan, kata EPL.
Selepas dua perlawanan berkenaan, kesemua 20 kelab sudah mengharungi 29 perlawanan menjelang hujung minggu 19 hingga 21 Jun, di mana semua pasukan liga tertinggi Inggeris itu dijadualkan beraksi.
Perlawanan terakhir EPL sebelum rehat akibat pandemik ialah Leicester menentang Aston Villa pada 9 Mac, sebelum bola sepak Inggeris ditangguhkan empat hari kemudian.
“Hari ini kami bersetuju untuk menyambung semula liga berkenaan pada Rabu 17 Jun.

“Tetapi tarikh ini tidak boleh disahkan sehingga kami semua memenuhi langkah keselamatan yang ditetapkan, kerana kesihatan dan kebajikan semua peserta dan penyokong adalah keutamaan kami.
“Malangnya perlawanan terpaksa diadakan tanpa kehadiran penonton di stadium, jadi kami gembira dengan jalan penyelesaian positif bagi membolehkan penyokong menonton kesemua baki 92 perlawanan,” kata ketua eksekutif Liga Perdana Richard Masters.
Ketika ini, Liverpool berada di hadapan 25 mata dari Manchester City dan kini semakin hampir menjuarai liga berkenaan sejak 1990.
Tetapi kejayaan itu terhenti berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda pelbagai negara di seluruh dunia terutama di negara-negara Eropah dan sekali gus membantutkan lagi usaha mereka untuk menjulang kejuaraan itu.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson menjulang trofi Liga Juara-Juara di sebuah stadium yang penuh sesak di Madrid pada Jun tahun lalu tetapi kini sedang bersiap sedia untuk pengalaman yang berbeza tahun ini.
“Sudah tentu akan terasa berbeza kerana jika anda memenangi sebarang trofi dan menerimanya tanpa peminat di sana, itu adalah sesuatu yang sangat pelik,” katanya kepada BBC. – AFP