EPL, NBC meterai perjanjian penyiaran

NEW YORK, 19 NOV – Liga Perdana Inggeris (EPL) dan penyiar Amerika Syarikat (AS) NBC mencapai perjanjian hak penyiaran baharu untuk tempoh enam tahun semalam bernilai AS$2.7 bilion, sekali gus memperkukuh status pasukan teratas England sebagai liga luar negara paling berharga di AS.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh EPl dan NBC mengatakan bahawa perjanjian baharu itu akan sah sehingga 2028 dan akan termasuk kesemua 380 perlawanan setiap musim.

Perjanjian itu juga termasuk hak eksklusif untuk siaran dalam bahasa Sepanyol di AS.

Perjanjian blokbuster itu sekali gus melanjutkan perkongsian di antara EPL dan NBC yang bermula pada 2013.

Jumlah perjanjian baharu tidak didedahkan tetapi New York Times berkata NBC telah mengatasi pesaing dengan satu tawaran bernilai AS$2.7 bilion dalam tempoh enam tahun.

Jika disahkan benar, jumlah tersebut adalah lebih dua kali ganda daripada AS$1.1 bilion yang dibayar oleh rangkaian itu kepada EPL untuk perjanjiannya sebelum ini.

Perjanjian baharu itu juga lebih rendah daripada jumlah yang dibayar oleh rangkaian AS lain untuk liga bola sepak asing.

Pada Mei, ESPN memeterai perjanjian lapan tahun bernilai AS$1.4 bilion untuk menyiarkan La Liga Sepanyol, kira-kira AS$175 juta satu musim. Perjanjian Liga Perdana berjumlah AS$450 juta satu musim.

“Kami gembira untuk mengumumkan perjanjian siaran baharu AS kami dengan NBC Sports, yang telah menjadi rakan terbaik untuk Liga Perdana sejak sembilan musim lalu,” kata ketua eksekutif Liga Perdana Richard Masters dalam satu kenyataan.

NBC Sports telah memperkukuh lagi kepopularan Liga di AS menerusi liputan dan promosinya.” – AFP

Reaksi pemain Chelsea Mason Mount selepas menjaringkan gol pasukannya semasa perlawanan Liga Perdana di antara Chelsea dan Norwich City di Stadium Stamford Bridge di London pada 23 Oktober 2021. – AP