KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ulang tahun jubli emas Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bakal menandakan bermulanya era emas pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang disokong prasarana di rantau ini.
Persatuan serantau itu meraikan ulang tahun ke-50 esok (Selasa), dengan ekonomi-ekonomi terbesarnya memberikan komitmen untuk menggandakan pelaburan prasarana kepada lebih AS$700 bilion (AS$1 = RM4.28) dalam tempoh lima tahun untuk meningkatkan perdagangan, pelancongan dan pembangunan bagi memacu pertumbuhan ekonomi untuk dekad-dekad akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Mukhtar Hussain, dalam satu kenyataan berkata inisiatif pengangkutan merupakan fokus utama bagi perbelanjaan dirancang dalam ekonomi-ekonomi ASEAN sehingga 2020.
“Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia, pelaburan dalam prasarana adalah suatu yang mustahak memandangkan peranan pentingnya dalam mewujudkan kekukuhan ekonomi jangka panjang,” katanya. Beliau berkata penekanan bagi membina hubungan yang lebih baik untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dan aliran barangan serta pergerakan rakyat dalam dan di sekitar ASEAN tidak boleh diperkecilkan.
Ia akan membantu syarikat tempatan dan antarabangsa memaksimumkan peluang di salah satu rantau yang paling padat penduduk dan pesat berkembang di dunia itu dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kira-kira AS$2.8 trilion, katanya. Mukhtar berkata, ASEAN, yang berada di senarai ketujuh dunia, dijangka menjadi antara tiga ekonomi utama menjelang 2030.
“Hubungan pengangkutan yang bertambah baik dalam rantaian bekalan ASEAN akan mengurangkan kos import dan ia bukan perkara kecil memandangkan barangan pengantara dan perkhidmatan serta barangan modal ketika ini membentuk 70 peratus daripada perdagangan dunia, seperti yang dianggarkan oleh Bank Dunia. “Kuantiti perdagangan ASEAN diunjur berganda kepada AS$2.8 trilion menjelang 2025 dari 2014, dirangsang oleh jangkaan penggunaan daripada 57 juta isi rumah kelas pertengahan baharu, yang dijangka diwujudkan dalam dekad akan datang,” katanya.
Beliau berkata potensi perbelanjaan besar pengguna daripada kumpulan ini, penduduk muda dan hidup di bandar merupakan tarikan utama bagi Inisiatif Belt & Road (BRI) China untuk menaik taraf prasarana fizikal, hubungan pelaburan dan perniagaan yang membantu memacu perdagangan. Mukhtar berkata ASEAN dan China berkongsi matlamat untuk menggandakan perdagangan dua hala kepada AS$1 trilion menjelang 2020 daripada kira-kira AS$500 bilion tahun lepas, menjadikan peluang perniagaan bagi pelaburan prasarana dan ekosistem dalam projek-projek utama terutamanya, sangat menarik.
“Malaysia akan meraih manfaat yang besar daripada pembangunan ini. Peluang Malaysia adalah untuk meningkatkan hubungan serantau dan tempatan dan menambah baik kecekapan ekonomi, mewujudkan satu sistem pengangkutan bersepadu dan menaik taraf kapasiti logistik bagi meningkatkan statusnya sebagai hab serantau perdagangan antarabangsa. Ini, merupakan bahagian fokus di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya. – Bernama