Era kapal jadi kenangan

BANDAR SERI BEGAWAN, SELASA – Pada hari ini tidak ada lagi Seri Brunei, Sultan, Pretty, Muara, Gipsy, Bolkiah dan Laila Mencanai mudik di Sungai Brunei.

Semenjak tahun 1980an kapal-kapal ini tiada lagi entah ke mana, namun jasa dan perkhidmatannya mengharungi laut membawa penumpang dari negara ini ke mana saja menjadi kenangan.

Sebaik saja negara pulih dari perang dunia kedua tahun 1945, muncullah kapal yang bernama Seri Brunei dan bermulalah perkhidmatan kapal ini, kemudiannya diikuti oleh beberapa buah kapal lain.

Walaupun kapal-kapal ini tidak sama besarnya dengan kapal yang bernama Perak, Perlis, Kunak dan Kimanis kepunyaan Straits Shipping Private Limited, kapal-kapal ini menjadi kebangsaan masyarakat Brunei lebih-lebih lagi ia dikendalikan oleh anak-anak tempatan.

Tumpuan kapal-kapal ini ialah Pulau Labuan (sekarang Wilayah Persekutuan Labuan) yang juga disebut ‘Pulau Paling Istimewa’. Ia membawa penumpang dan pelancong dari negara ini yang ingin berkunjung ke pulau itu.

Sementara penduduk di kedua-dua buah negara yang berjiran itu tidak asing lagi, ini dapat dilihat setiap kali pelayaran ke pulau itu penuh dengan penumpang berbanding dengan mereka yang pergi ke Miri dengan jalan darat.

Selain membawa penumpang, kapal-kapal ini juga mengangkut bakal-bakal haji ke Labuan. Dari Labuan, mereka menaiki kapal haji Anshun ke Jeddah dan balik ke tanah air. Kuching (Sarawak) dan Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) tidak terkecuali dikunjungi oleh kapal-kapal ini.

Kunjungan ke Kuching mengangkut Pasukan Pancaragam Polis Sarawak dibawa ke negara ini untuk sambutan Istiadat Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana negara ini ketika itu belum mempunyai pasukan pancaragam sendiri. Kunjungan ke Kota Kinabalu pula membawa rombongan dari negara ini ketika cuti.

Kampung-kampung di pedalaman dalam negara ini, belum ada perhubungan jalan darat, kapal-kapal inilah dengan melalui sungai pergi ke kampung-kampung berkenaan untuk menyampaikan maklumat kerajaan.

Merempuh angin ribut dan laut bergelora sudah menjadi perkara biasa, namun ada kalanya kapal berpatah balik kerana gelombang besar dan suasana laut menakutkan.

Perkahwinan di Kampong Ayer akan lebih meriah lagi jika pengantin lelaki menggunakan kapal ini pergi ke rumah pengantin perempuan disertai dengan pukulan hadrah.

Pembesar-pembesar dari luar negara yang melawat negara ini dibawa menaiki kapal ini untuk melihat lebih dekat lagi keadaan Kampong Ayer.

Jika dibandingkan kemudahan perkhidmatan kapal pada masa dahulu dengan yang kita lihat hari ini sungguh berbeza.

Pada masa dulu, jika mahu ke Labuan mestilah menempah tempat dengan Jabatan Laut yang mengendalikan perjalanan kapal-kapal itu beberapa hari sebelum pergi.

Tambang pergi balik $5 naik kepada $10 manakala kelas 1 $10 naik $20 tetapi kakitangan kerajaan tidak dikenakan bayaran.

Perjalanan pergi balik sekali saja sehari, bertolak dari ibu kota pukul 7:45 pagi sampai di Labuan sebelum pukul 11 pagi, sementara balik dari Labuan pukul 2 petang, bergantung pada keadaan cuaca.