Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja memberi peluang kepada ahli keluarga terdekat ataupun jauh untuk bertemu dan mengeratkan talian kekeluargaan tetapi ia juga peluang terbaik bagi merapatkan silaturahim di kalangan sahabat handai dan rakan sekerja.
Sehubungan dengan itu, Kumpulan Syarikat Hamitan termasuk Syarikat Rajamas Bersama Sdn Bhd dan Hamitan Marketing telah mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan yang diadakan di Ibu Pejabat Hamitan, Kampung Serasa, baru-baru ini.
Hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan ialah Pengarah Syarikat Rajamas Bersama Sdn Bhd, Lau Kah Huon. Majlis turut dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan dari pelbagai bahagian syarikat di mana mereka turut dihidangkan pelbagai makanan dan minuman sempena Lebaran ini.
Pengurus Operasi Kumpulan Hamitan, Amanda Loi dipetik sebagai berkata bahawa syarikatnya amat gembira kerana dapat mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk para kakitangan khususnya yang beragama Islam dan pada masa yang sama memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan syarikat untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan semangat berpasukan.