Saturday, November 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erat hubungan ekonomi melalui IPEF

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF) dan Forum Pelabur Ekonomi Bersih Perdana yang berlangsung di Marin Bay Sands Expo & Convention Centre, Republik Singapura pada 5 dan 6 Jun.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, turut hadir pada acara berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin selaku ketua perunding bagi Negara Brunei Darussalam.

    Antara tumpuan utama Mesyuarat Menteri-menteri IPEF berkenaan ialah penandatanganan perjanjian-perjanjian yang pertama seumpamanya iaitu Perjanjian IPEF berkaitan Ekonomi Bersih (Pillar III) dan Perjanjian IPEF berkaitan Ekonomi Adil (Pillar IV).

    Menteri-menteri berkenaan juga telah menandatangani Perjanjian Menyeluruh mengenai IPEF bagi merasmikan perjanjian-perjanjian IPEF berkenaan. Ini menandakan detik penting bagi negara-negara ahli IPEF dalam memajukan hubungan ekonomi di rantau Indo-Pasifik.

    Selanjutnya, para menteri mengalu-alukan perkembangan yang baik dicapai di bawah Perjanjian IPEF berkaitan Daya Tahan Rantaian Bekalan (Pillar II) yang telah ditandatangani pada November 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai semasa menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut serta sebagai salah seorang ahli panel semasa forum tersebut. – GAMBAR SERAHAN MOFE

    Melalui perjanjian-perjanjian berkenaan, negara-negara ahli IPEF berdedikasi untuk menunjukkan komitmen dalam membina rantaian bekalan yang berdaya tahan, mempercepatkan peralihan kepada ekonomi bersih untuk mencapai pelepasan sifar bersih serta ekonomi yang adil dengan menyediakan persekitaran perniagaan yang boleh diramal dan telus di rantau ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew juga merupakan salah seorang ahli panel bagi sesi bertajuk Membangunkan Peluang-peluang Tenaga Bersih dan Rantaian Bekalan di Rantau IPEF yang telah diadakan pada 6 Jun.

    Sesi itu, antara lain, bertujuan untuk menonjolkan peluang-peluang pelaburan utama dan kemajuan teknologi yang boleh memacu peralihan tenaga di rantau ini, menekankan peranan penting kerjasama awam-swasta bagi menangani cabaran semasa dalam membangunkan ekosistem tenaga bersih serta tindakan konkrit yang perlu diutamakan untuk membina rantaian bekalan tenaga bersih yang berdaya tahan dan mampan di rantau ini termasuk Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, Forum Pelabur Ekonomi Bersih telah mengumpulkan beberapa pemain utama dalam rantau IPEF yang terdiri daripada sektor kerajaan dan sektor swasta serta institusi-institusi kewangan untuk memangkinkan pelaburan dengan tujuan untuk memajukan kerja-kerja di bawah Perjanjian Pillar III.

    Peluang pelaburan bernilai lebih AS$23 bilion telah dikenal pasti dan sekitar AS$6 bilion dibentangkan di Forum Pelabur. Tiga projek pelaburan infrastruktur yang berdaya tahan dari Brunei telah terpilih untuk diketengahkan semasa sesi berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda