Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Rasmi sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Republik Filipina yang berlangsung di Istana Malacanang, Manila.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat ke Tugu Peringatan Rizal di Rizal Park, Manila bagi Upacara Meletakkan Kalungan Bunga.
Sejurus keberangkatan tiba di Tugu Peringatan Rizal, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Setiausaha Eksekutif Republik Filipina, Salvador Medialdea.
Selepas itu, lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan, diikuti dengan lagu kebangsaan Republik Filipina. Baginda kemudian dijunjung bagi meletakkan kalungan bunga di tugu pe-ringatan tersebut.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di perkarangan istana dialu-alukan oleh Presiden Republik Filipina, Rodrigo Roa Duterte.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan dijunjung menaiki pentas khas bagi menerima Tabik Hormat Diraja, diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara serta 21 das tembakan meriam. Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memeriksa barisan kehormatan diraja yang terdiri daripada Angkatan Tentera Filipina.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan disembahkenalkan kepada para pembesar negara Republik Filipina, kemudiannya diikuti dengan Presiden Duterte diperkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Negara Brunei Darussalam.




Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menandatangani buku pelawat di Dewan Resepsi, Malacañan Palace.
Selepas itu, kedua-dua pemimpin seterusnya beredar ke Aguinaldo State Dining Room bagi Majlis Perjumpaan Dua Hala.
Semasa perjumpaan dua hala tersebut, kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa.
Selepas Majlis Perjumpaan Dua Hala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duterte beredar ke Dewan Resepsi bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan Perjanjian-perjanjian Kerjasama.
Perjanjian Kerjasama Kebudayaan telah ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, manakala Kerajaan Republik Filipina diwakili oleh Chairperson of the National Commission for Culture and the Arts, Virgilio S. Almario.
Ini diikuti dengan penandatanganan memorandum terhadap Industri Halal dan Pembangunan Halal dan Promosi oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, manakala kerajaan Republik Filipina diwakili oleh Setiausaha Perdagangan dan Industri, Ramon Lopez.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Presiden Duterte kemudian beredar bagi menghadiri sidang akhbar bersama di mana Baginda Sultan melahirkan rasa gembira kerana berpeluang kembali ke Republik Filipina bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang erat. Baginda juga menyatakan sokongan penuh Negara Brunei Darussalam kepada Republik Filipina, selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2017.
Kenyataan bersama di antara Republik Filipina dan Negara Brunei Darussalam juga dikeluarkan.