Erat hubungan keluarga semasa teranah di rumah

Oleh Yusrin Junaidi

Sejak kebelakangan ini, rentetan penularan wabak COVID-19 kebanyakannya terdiri daripada kalangan individu di sekitar perumahan persendirian, yang menjadikan peningkatan kluster-kluster bernombor diumumkan pada sidang media situasi terkini penularan wabak di negara kita.

Sehubungan itu, orang ramai sekali lagi dinasihatkan untuk tetap teranah di rumah dan keluar rumah jika ada keperluan penting sahaja seperti membeli bekalan makanan atau pergi bekerja. Namun, teranah di rumah bukan bererti kita tidak dapat melakukan sebarang aktiviti, kerana masih terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama ahli keluarga yang tinggal sebumbung.

Lakukan aktiviti bermanfaat semasa di rumah

Ketika menjalani arahan pengawalan yang diarahkan kerajaan, ahli keluarga atau ketua keluarga perlu kreatif membuat jadual waktu aktiviti, agar waktu pembelajaran secara dalam talian dan waktu bekerja dari rumah (WFH) tidak terjejas.

Lakukan perbincangan bersama ahli keluarga sebelum melakukan apa jua aktiviti yang hendak dilakukan sebagai contoh, buat jadual waktu berserta tugasan dan tanggungjawab masing-masing agar ia tidak membuang masa begitu sahaja.

Sehubungan itu di sini penulis kongsikan antara lapan aktiviti bermanfaat yang dapat dilakukan:

Mengemas dan membersihkan rumah secara tidak langsung dapat memupuk sifat kerjasama dan ringan tulang dalam diri ahli keluarga.

Mengemas dan membersihkan rumah

Kerja-kerja mengemas dan membersihkan rumah adalah antara aktiviti rutin yang dilakukan setiap hari, namun aktiviti ini sebelumnya terhad atas urusan-urusan kerja tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Semenjak gelombang kedua penularan wabak COVID-19 ini, masa untuk aktiviti ini boleh dikatakan mudah namun ahli keluarga perlu bijak mengurus waktu sebelum kerja-kerja WFH bermula.

Mengemas dan membersihkan rumah ini dapat memberikan peluang bagi meluangkan masa bersama ahli keluarga untuk membersihkan rumah bagi membunuh semua kuman dan bakteria yang mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Selongkar almari, kerusi dan sebagainya di rumah anda dan asingkan semua barangan yang sudah tidak digunakan atau dibuang. Dalam masa yang sama, barang-barang yang tidak digunakan lagi boleh dikumpulkan untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, apa yang perlu pastikan barang tersebut masih elok untuk digunakan.

Dengan melakukan aktiviti ini bukan saja rumah dalam keadaan bersih tetapi juga telah mengurangkan pelbagai risiko jangkitan yang mungkin terdapat di rumah.

Dalam masa yang sama dengan mengadakan aktiviti ini, secara langsung dapat memupuk sifat kerjasama dan ringan tulang dalam diri ahli keluarga khususnya anak-anak.

Lakukan aktiviti psikologi bersama pasangan dan anak-anak

Bagi mereka yang sudah berkeluarga, inilah masanya untuk berbincang, bercerita, bermain atau mengambil tahu masalah berkaitan anak-anak dan pasangan.

Bincangkan topik-topik yang dianggap penting seperti tentang kewangan keluarga, pendidikan, keagamaan dan sebagainya. Kita sebagai ibu bapa juga boleh menerangkan kepada anak-anak yang masih kecil tentang situasi yang berlaku ketika ini.

Ketika ini juga masa yang sesuai untuk mengasingkan diri kita, pasangan dan anak-anak dari sebarang gajet. Ketika bersantai di rumah, kita dapat memanfaatkan masa bersama ahli keluarga dengan merangsang minda mereka bermain pelbagai permainan menguji minda seperti catur, congkak, pasang dan sebagainya.

Tingkatkan aktiviti keagamaan

Teranah di rumah juga merupakan satu peluang untuk meningkatkan akti-viti keagamaan, seperti mengajar anak-anak tatacara sembahyang, mengaji Al-Quran, membaca Surah Yasin setiap malam dan banyak lagi.

Ketua keluarga memainkan peranan penting dalam melaksanakan malam taklim, membaca atau menceritakan dengan kisah-kisah para nabi dan sahabat-sahabat yang pernah berjuang untuk menegakkan hukum Islam.

Ketika inilah merupakan waktu keemasan untuk mengajar anak-anak dan ahli keluarga yang lain tentang sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW, dan masa terbaik untuk mengasabah diri, memohon keampunan dan taubat dari Allah.

Susun semula kewangan diri dan keluarga

Jika sebelum ini, kita sentiasa terlupa tentang bagaimana untuk mengendalikan kewangan yang betul untuk masa depan, pada waktu ini sangat sesuai untuk kita memikirkan dan mengurus semula kewangan untuk diri sendiri dan keluarga.

Perbincangan bersama pasangan memainkan peranan penting dalam pengurusan kewangan yang bijak, di mana pasangan perlu menyenaraikan strategi yang boleh dilakukan untuk mengukuhkan kewangan diri dan keluarga.

Mempelajari masakan baharu

Sebilangan ahli keluarga, lebih-lebih lagi anak-anak perempuan lebih cen-derung menemani ibu mereka di dapur.

Semasa teranah di rumah ini, kita dapat manfaatkannya dengan mengajar kepakaran kita sebagai ibu bapa dalam bidang memasak kepada anak-anak, bukan saja terhad kepada anak perempuan, bahkan kepada anak lelaki.

Aktiviti memasak ini adalah untuk membentuk sahsiah diri supaya ada perasaan rendah diri terutama pada diri anak-anak. Di samping itu juga, siapa tahu dengan mempelajari bidang memasak ini dapat menambah kemahiran yang berguna untuk anak-anak suatu hari nanti.

Jana pendapatan dari rumah

Teranah di rumah bukan bererti kita hanya duduk diam dan tidak menjalan kan apa-apa. Sebenarnya, semasa kita berada di rumah dapat menjana pendapatan seperti melakukan perniagaan secara dalam talian.

Pada masa sekarang, jualan makanan dalam talian telah menjadi satu trend terutamanya pada musim penularan wabak. Justeru, waktu ini sesuai untuk kita menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dengan melakukan kajian, menyoroti pasaran dan dapatkan pandangan atau panduan daripada mereka yang telah berjaya.

Rapatkan ikatan silaturahim sesama ahli keluarga lain

Pada zaman yang serba canggih dengan pelbagai teknologi komunikasi ini, tiada isu untuk berhubung dengan ahli keluarga lain secara maya. Banyak aplikasi seperti Whatsapps, Facetime dan bermacam-macam lagi yang dapat digunakan untuk komunikasi dan merapatkan lagi hubungan silaturahim antara ahli keluarga terutama yang jauh.

Jika sebelum ini anda jarang dapat berbual dengan ahli keluarga kerana sibuk bekerja, sekaranglah masanya untuk bertanya khabar mereka secara mendalam.

Cari masa terluang yang sesuai, gunakan aplikasi komunikasi yang mudah diakses dan tanyakan khabar mereka sambil berkongsi-kongsi cerita. Dengan cara begini sekurang-kurangnya dapat mengubati kerinduan masing-masing terhadap ahli keluarga yang berjauhan.

Elak mempercayai info palsu

Semasa berada di rumah, kita juga perlu mengehadkan masa dengan media sosial kerana dikhuatiri terlalu lalai sehinggakan mengabaikan tugasan kerja yang diamanahkan semasa WFH.

Di samping itu, pantau anak-anak kita dari melayari laman-laman web yang tidak bersesuaian bagi menghindarkan mereka dari melakukan perkara yang salah. Ikuti saluran yang sah sahaja apabila berkaitan dengan laporan situasi wabak COVID-19 dan yang penting ikuti arahan pihak kerajaan dari semasa ke semasa dan elakkan daripada menyebarkan berita yang tidak sahih.