Erat hubungan melalui Hari Raya Aidilfitri

Oleh Pg Fairol RMF, Normazlina M.D & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Syarikat-syarikat swasta tidak melepaskan peluang pada hari-hari terakhir Syawal ini untuk mengadakan majlis-majlis pejabat terbuka dan Sambutan Hari Raya untuk mengeratkan silaturahim bersama pegawai dan kakitangan, rakan-rakan niaga dan para pelanggan.

Syarikat Great Eastern Life Brunei juga telah memeriahkan hari-hari terakhir Syawal ini bersama para pelanggan dengan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2018 di pejabatnya di Kiulap, hari ini.

Acara yang dibuka dari 11 pagi hingga 3 petang itu dihadiri oleh kakitangan, wakil-wakil pengedar, pemegang dasar, rakan niaga dan persatuan.

Kedatangan jemputan dialu-alukan oleh Ketua Kumpulan Great Eastern Life Brunei, Douglas Yee sebagai penolong ketua cawangan Brunei.

Douglas Yee mengulas, “Pelanggan kami menghadiri rumah terbuka sebelum ini semasa acara-acara besar dan kami ingin meneruskan tradisi tidak rasmi ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan kami dan berterima kasih atas sokongan mereka selama ini”.

Pihak pengurusan, ketua-ketua dan perwakilan dari Great Eastern Life Brunei bergambar ramai semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri syarikat berkenaan.
Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhamad Sazali ketika menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak YASKA semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ITPSS di Hotel Parkview, Jerudong.

Sementara itu, baru-baru ini, Information Technology Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Hotel Parkview, Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhamad Sazali bin Pengiran Haji Yakob yang juga pengerusi Lembaga Pengarah ITPSS Sdn Bhd.

Majlis telah dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengarah, kakitangan dan keluarga mereka yang turut berpeluang beramah mesra bersama jemputan dari Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) dan beberapa orang anak yatim.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhamad Sazali menyampaikan sumbangan kepada tujuh pesakit kanser kanak-kanak, selain sumbangan kepada YASKA yang diterima oleh Dayang Siti Zaleha binti Abdul Manaf bagi pihak yayasan berkenaan.

Kemudian, salah seorang ahli Lembaga Pengarah ITPSS, Awang Mohd Zalani bin Haji Ismail menyampaikan sumbangan kepada 10 orang anak yatim yang dijemput hadir pada majlis berkenaan.

Sumbangan-sumbangan berkenaan adalah daripada syarikat dan kakitangannya.

Mantan dan kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei raikan majlis ramah mesra Hari Raya Aidilfitri 2018 di Restoran Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo Club, Jerudong, baru-baru ini.
Warga Concepts Computer bergambar ramai bersama para tetamu yang hadir ke majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri khas untuk kakitangan dan media di Brilliance Hall, Concept Computer, Kiulap.

Manakala itu, seramai 40 orang mantan dan kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) menghadiri Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri 2018 di Restoran Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo Club, Jerudong, baru-baru ini.

Majlis bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mantan dan kakitangan RB.

Concepts Computer pula telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri khas untuk kakitangan dan media yang berlangsung di Brilliance Hall, Concepts Computer, Kiulap, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Concepts Computer, Vincent Pao dan Pengawai Kewangan Kumpulan Concepts, Alice Chan mengalu-alukan para jemputan yang hadir.

Menurut mereka, Sambutan Hari Raya bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara kakitangan dan media tempatan, selain itu menceriakan lagi Sambutan Hari Raya yang penuh muhibah.

Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan yang diadakan oleh umat Islam setiap tahun, dan Concepts Computer juga mengadakannya setiap tahun untuk kakitangannya yang beragama Islam dan yang bukan Islam, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim.