Sunday, January 26, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erat hubungan melalui lawatan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 21 Jun – Rombongan yang terdiri lebih daripada 10 orang ahli Persatuan Bantuan Bersama Kampung Baru Seria, hari ini, telah mengadakan lawatan ke Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria bersempena sambutan ulang tahun ke-52 persatuan berkenaan.

    Kunjungan rombongan yang diketuai oleh pengerusi persatuan, Yang Chow Min itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan bersama para penghuni dan kakitangan sukarelawan di rumah berkenaan.

    Semasa lawatan tersebut, rombongan turut menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asasi kepada penghuni rumah orang-orang tua itu, selain menyampaikan sumbangan kewangan yang dikenali oleh masyarakat Cina sebagai angpau.

    Menurut Yang Chow Min, lawatan mereka itu juga bersempena sambutan Festival Duanwu yang juga dikenali sebagai Pesta Kapal Naga atau Pesta Zhongxiao bagi memperingati hikayat hidup dan matinya Sarjana China Qu Yuan yang lazimnya diraikan pada hari kelima bulan kelima kalendar lunar Cina.

    Rombongan Persatuan Bantuan Bersama Kampung Baru Seria bergambar ramai bersama penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria semasa mengadakan lawatan di kediaman tersebut, kelmarin.
    Ramai di kalangan masyarakat Cina mengunjungi tepian pantai untuk meraikan Festival Duanwu.

    Pesta tersebut dimeriahkan lagi dengan menyediakan nasi pulut yang dikenali sebagai Zongzi dan dimakan secara beramai-ramai bersama ahli keluarga, selain diraikan dengan berkunjung ke tepi pantai beramai-ramai dengan kepercayaan untuk menyaksikan naga bersiram bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan mereka.

    Menurutnya, tradisi sebegini telah dilakukan sejak zaman nenek moyang mereka bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.

    “Di samping itu, melalui pesta itu juga, masyarakat kami percaya kejadian ganjil seperti telur boleh berdiri menegak berlaku, ia berlangsung serentak dengan Pesta Kapal Naga di tepi pantai dan bagi kanak-kanak zaman sekarang, kejadian telur boleh berdiri tegak adalah menjadi satu keseronokan mereka dan dijadikan sebagai analisis dalam penyelidikan sains,” katanya.

    Sempena pesta tersebut ramai kalangan masyarakat Cina termasuk di daerah ini kelihatan beramai-ramai berhimpun di tepian pantai pada sebelah petang untuk sama-sama meraikannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda