Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kulimpapat
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 (PSPSG41) baru-baru ini mengadakan Majlis Silaturahim GERAK 41 yang berlangsung di Mangrove Paradise Resort, Jalan Kota Batu, Sebagai usaha untuk mengeratkan lagi hubungan di antara ahli dari generasi yang berbeza.
Ia merupakan perjumpaan semula bagi ahli-ahli terdahulu dan yang baru bersama pengasas serta peneraju persatuan berkenaan, mengumpulkan semula ahli-ahli yang masih aktif dan sudah lama tidak aktif.
Majlis turut menyaksikan kehadiran mereka yang pernah mengharumkan nama persatuan berkenaan dengan mewakili negara dalam sukan-sukan kebangsaan dan antarabangsa seperti Kejohanan Dunia Pencak Silat dan Sukan SEA.
Hadir selaku tetamu kehormat dan memberikan ucapan di majlis berkenaan ialah Guru Utama PSPSG41, Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Yusuf di mana beliau menceritakan serba sedikit hasrat dan asal bermulanya persatuan yang bermula daripada kumpulan kecil di Kampung Setia hingga dikenali dunia.


Yang Di-Pertua persatuan, Mejar (B) Awang Rusli bin Bujang dalam ucapannya pada majlis itu, merista semula kejayaan dan keperitan untuk bertahan sepanjang perjalanan persatuan berkenaan dan bagaimana persatuan itu berevolusi mengikut perkembangan semasa.
Beliau turut mengongsi hasrat yang ingin dicapai iaitu perpaduan dan bagi semua ahlinya untuk tetap bersatu hati dalam sama-sama mencapai kejayaan.
Majlis perkumpulan semula itu diharap menjadi sebagai instrumen ataupun kaedah bagi mengimbas jasa-jasa guru awal serta menghargai mereka supaya generasi yang baru mengenali asal usul perguruan berkenaan.
Dengan bergiat lebih 36 tahun, persatuan itu juga pernah diiktiraf sebagai persatuan silat contoh di Negara Brunei Darussalam.