Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Erat hubungan serumpun menerusi Festival Makanan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Warisan masakan dan makanan tradisi itu pastinya salah satu cabang khazanah bernilai yang perlu dipertahankan sampai bila-bila.

    “Setiap produk yang dihasilkan tidak kiralah berupa kulinari mahupun barangan yang diketengahkan oleh sesebuah etnik sudah tentu memiliki daya keistimewaan dan tarikan tersendiri,” ujar Hajah Hammah binti Puasa semasa berkongsi pengalaman beliau mengetuai 16 ahli daripada Pengusaha-pengusaha Wanita Brunei (PPWB).

    Rombongan PPWB itu telah menyertai Festival Makanan Tradisional Borneo 2022 yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Wilayah Persekutuan Labuan pada hujung Oktober lalu.

    Festival yang dianjurkan Pertubuhan Inspirasi Wanita Labuan (LANITA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia itu berlangsung tiga hari yang melibatkan tujuh etnik di Kepulauan Borneo meliputi Labuan, Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

    Semasa ditemu bual secara dalam talian, Hajah Hammah, menjelaskan penglibatan mereka dalam festival berkenaan pastinya tersimpan kemanisan yang sukar dilupakan di mana di bawah satu bumbung mereka bersatu menonjolkan kepelbagaian sentuhan produk peribadi dengan membawa nama negara atau negeri masing-masing.

    Seramai 16 ahli PPWB telah menyertai Festival Makanan Tradisional Borneo 2022 yang berlangsung Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Wilayah Persekutuan Labuan sekitar penghujung Oktober lalu.
    Festival berkenaan merupakan anjuran LANITA dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia.
    Hajah Hammah (kanan) bersama Hajah Masnah yang mejuarai Pertandingan Dulang Ambuyat, salah satu aktiviti semasa festival tersebut.
    Antara jualan yang diketengahkan oleh pengusaha Negara Brunei Darussalam yang terlibat dalam festival tersebut.

    Pelbagai aktiviti turut diadakan semasa festival itu berlangsung antaranya Pertandingan Dulang Ambuyat, Menumpah Ambuyat, Pertandingan Pakaian Etnik Borneo, Persembahan Peragaan Pakaian Tradisional Kanak-Kanak dan Pameran Kuih-muih.

    Menerusi Pertandingan Dulang Ambuyat, salah seorang peserta dari Brunei, Hajah Masnah binti Haji Mohd Arshad telah menjuarai pertandingan setelah menewaskan 14 orang peserta lain daripada pelbagai etnik.

    Bagi Pertandingan Menumpah Ambuyat pula, telah disahut cabarannya oleh dua orang peserta tempatan terdiri daripada Hajah Kamariah dan Pengiran Hajah Mariam.

    Dalam pada itu, Hajah Hammah turut menjelaskan bahawa penganjuran itu semestinya mampu membuka mata dan jiwa betapa pentingnya nilai pendedahan diketengahkan kepada masyarakat terutamanya generasi muda sekarang agar mereka lebih mengenali sentuhan resipi yang telah menjadi warisan sejak zaman-berzaman.

    “Demi sama-sama membuktikan kemampuan masing-masing dari segi memperlihatkan keunikan dan kepelbagaian menu masakan warisan yang semakin kurang dihasilkan ini, ia juga secara tidak langsung mampu mewujudkan potensi untuk mengkomersialkan kira-kira 50 jenis makanan tradisional daripada semua pengusaha yang mewakili etnik masing-masing,” kongsinya di akhir pertemuan dalam talian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...