Erat perpaduan masyarakat sempena Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, pihak Kedutaan Indonesia di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah mengadakan majlis berbuka puasa bagi masyarakat Indonesia di kedutaan berkenaan.

Acara yang dihadiri kira-kira 200 pekerja Indonesia dan profesional yang berada di negara ini diisikan dengan majlis berbuka puasa, sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah dan diikuti dengan sembahyang Sunat Tarawih.

Acara itu juga diserikan dengan tazkirah ringkas mengenai hikmat di bulan Ramadan yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Abdurrahman Raden Aji Haqqi.

Sementara itu, menurut Duta Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam, Dr Sujatmiko, dalam ucapannya semasa majlis itu menyeru kepada masyarakat Indonesia untuk bersatu semasa bulan Ramadan ini selepas berdepan dengan ketegangan politik semasa pilihan raya parlimen dan presiden bulan lalu.

Majlis berbuka puasa tersebut merupakan salah satu acara tahunan sempena bulan Ramadan yang dianjurkan oleh kedutaan berkenaan dengan kerjasama Persatuan Masyarakat Indonesia.

Dr Abdurrahman ketika menyampaikan tazkirahnya.
Masyarakat Indonesia yang berada di negara ini ketika menikmati juadah berbuka puasa.
Antara jemaah wanita yang hadir pada majlis tersebut.