Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Sungai Besar, Sungai Belukut dan Serdang bersama anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengeratkan hubungan kerjasama dan silaturahim menerusi acara keagamaan yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin.
Pemangku Ketua Kampung Sungai Besar, Sungai Belukut dan Serdang selaku Pengerusi PK, Haji Zaini bin Haji Damit melahirkan keyakinan bahawa majlis berkenaan akan menjadi landasan terbaik dalam mengukuhkan kesefahaman antara kedua-dua agensi.
Di samping itu, tambah beliau, acara yang julung kalinya diadakan itu memberi bermanfaat dan dapat mengukuhkan lagi hubungan sekali gus menyumbang kepada kejayaan dalam mencapai hasrat demi menjaga keharmonian dan keselamatan kampung-kampung berkenaan.
Antara yang hadir ialah Pegawai OCS BSB, Awang Mohammad Afidzul Azeez bin Sheikh Haji Abu Bakar; Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Pemangku Mukim Kota Batu, Awang Lawi bin Haji Lamit; Penasihat AJK Takmir Masjid Serdang, Haji Daud bin Taha serta ahli-ahli PK Kampung Sungai Besar, Sungai Belukut dan Serdang di samping para jemaah.
Bacaan Surah Yasin dan Tahil telah dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Sungai Besar, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud.