Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eratkan hubungan melalui seni

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Hubungan dua hala dan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan Pakistan terus diperkukuhkan menerusi Pameran Seni Lukisan dan Kaligrafi Islam yang dikendalikan bersama oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Negara Brunei Darussalam di Lounge Perdana BIBD, cawangan BIBD Kiulap, hari ini.

    Hadir untuk merasmikan bersama pameran berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar.

    Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam ucapan alu-aluannya di majlis berkenaan menyatakan bahawa kerjasama di antara Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Negara Brunei Darussalam dan BIBD memberikan peluang yang terbaik bagi orang ramai khususnya pelanggan BIBD untuk bukan sahaja menyaksikan karya seni artis dari Pakistan tetapi juga berpeluang untuk memiliki serta membawa pulang karya seni Islam antarabangsa untuk menghiasi ruang rumah mereka terutamanya dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

    Pada masa yang sama, ulasnya lagi, kerjasama itu merupakan salah satu usaha berterusan BIBD untuk mempromosikan kesefahaman merentas budaya menerusi bidang seni dan kaligrafi.

    TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan, Mubashar Khokhar dan Hajah Nurul Akmar bergambar ramai selepas perasmian Pameran Seni Lukisan dan Kaligrafi Islam yang diadakan di Lounge Perdana BIBD, cawangan BIBD Kiulap, hari ini.
    TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan dan Mubashar Khokhar diberikan penerangan ringkas mengenai karya-karya seni lukisan dan kaligrafi Islam yang diketengahkan dalam pameran itu.

    Sementara itu, TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan dalam kata alu-aluan ringkasnya menyatakan bahawa koleksi lukisan dan kaligrafi yang dipamerkan itu adalah hasil karya artis Pakistan yang mempamerkan keindahan serta keunikan hasil karya seni dan kaligrafi Islam.

    Pameran itu, jelasnya lagi, bermatlamat untuk mempromosikan hubungan persahabatan antara kedua-dua buah negara dan untuk memberikan pendedahan mengenai seni karya kaligrafi kepada mereka yang meminati seni berkenaan.

    Pameran yang merupakan sebahagian daripada Sambutan Hari Kebangsaan Pakistan ke-78 itu diadakan di Lounge Perdana BIBD, cawangan Kiulap bermula hari ini hingga 4 Jun.

    Manakala itu, pameran akan diteruskan di Lounge Perdana, cawangan BIBD Bandar Seri Begawan pada 8 hingga 13 Jun nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda