Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Kesepakatan yang wujud daripada penduduk kampung akan dapat membentuk satu perpaduan dan ukhuwah yang erat dengan adanya aktiviti kerjasama secara bergotong-royong sesama mereka. Jalinan kemesraan itu juga jelas dilihat dengan adanya acara kemasyarakatan seperti aktiviti membersihkan tanah-tanah perkuburan seperti yang diselenggarakan menerusi kolaborasi ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan para penduduk Kampung Lumapas A dan B, baru-baru ini.
Menyertai aktiviti di Tanah Perkuburan Islam Tunjuk Langit Kampung Lumapas itu ialah pemangku-pemangku ketua Kampung Lumapas A dan B iaitu Haji Saini bin Haji Maidin dan Awang Ali bin Tanjong.
Turut menyertai ialah ahli-ahli Persatuan Belia Lumapas (PERLU) dan pengawasan kejiranan kampung berkenaan.
Kerja secara gotong-royong seumpama itu juga dititikberatkan di samping melatih golongan muda agar tidak camah mata dan sentiasa ringan tulang menyumbang tenaga dalam aktiviti yang melibatkan segenap lapisan warga kampung.
MPK Tanjung Bunut dan penduduk kampung berkenaan juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga dalam kerja-kerja pembersihan di Tanah Perkuburan Islam Sepayau, Jalan Kampung Bunut Kanan dan Tanah Perkuburan Islam Pakuan.
Pemangku Ketua Kampung Tanjung Bunut, Haji Abdul Rahman bin Haji Jumat bersama para penduduk kampung menyertai kerja-kerja pembersihan berkenaan dalam menyambut kedatangan Ramadan yang bakal menjelang.
Aktiviti tahunan itu juga bagi memberikan keselesaan kepada para pengunjung yang terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara serta rakan taulan yang datang berziarah seterusnya mengadakan aktiviti keagamaan seperti membaca Surah Yasin dan bertahlil. Bacaan Tahlil dan Doa Arwah juga diadakan sejurus selesai kerja-kerja kebersihan dijalankan.