Eratkan perpaduan Sabah, Sarawak dan Semenanjung

PUTRAJAYA, 18 Julai – Isu perpaduan kaum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung menjadi antara fokus utama P. Waytha Moorthy yang baru dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

“Persepsi umum masyarakat di Semenanjung hanya memikirkan mengenai tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India dan hanya mengetahui mengenai masyarakat Iban dan Kadazan walaupun masih terdapat banyak lagi suku kaum lain kerana menganggap ia sesuatu yang tidak penting,” katanya.

Justeru katanya melalui semangat “Malaysia Baharu”, persepsi tersebut harus diubah iaitu setiap individu harus belajar untuk memahami setiap budaya dan kehidupan  masyarakat  berbilang agama dan suku kaum di seluruh Malaysia.  Waytha Moorthy berkata jawatan menteri yang dipegangnya melalui pelantikan sebagai Senator memberi tempoh selama tiga tahun untuk beliau menggandakan usaha dalam melaksanakan segala program yang dapat memperkukuh perpaduan dan keharmonian semua kaum di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Waytha Moorthy mengetip kad perakam waktu semasa hadir untuk memulakan tugas selaku Menteri di jabatan berkenaan hari ini selepas dilantik sebagai Senator. Turut sama Timbala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Dr Md Farid Md Rafik (kanan). ?– Bernama

Bercakap kepada media selepas hadir mendengar taklimat mengenai fungsi dan program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini hari ini, Waytha Moorthy turut menyentuh mengenai tindakan pengguna media sosial menghina kemunculan seorang cendekiawan Hindu yang menemaninya ke Parlimen semalam. Menurutnya, persepsi itu adalah hasil apabila sikap masyarakat yang tidak mengetahui atau mengambil maklum mengenai budaya dan agama lain.

“Beliau, Arunachalanandaji, merupakan saudara saya yang kini menetap di India dan mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk menyebarkan keamanan dunia.

“Saya fikir disebabkan beliau mendedikasikan lebih 30 tahun hidupnya untuk keamanan dunia, beliau paling sesuai untuk menyerikan upacara angkat sumpah saya,” kata Pengerusi Hindraf itu yang kali kedua dilantik ke Kabinet. – Bernama