Oleh Daniel Lim
BELAIT, 6 OKT – Guru-guru agama dari pelbagai sekolah swasta di Daerah Belait telah berkumpul di Restoran Serikandi, Kuala Belait, baru-baru ini, bagi meraikan Hari Guru dengan Majlis Peringatan Perkhidmatan.
Dianjurkan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Guru-guru Agama dari Sekolah-sekolah Swasta di Kuala Belait, majlis diakan buat kali pertama oleh kumpulan berkenaan dengan matlamat untuk membantu mengeratkan semula hubungan antara guru-guru yang telah bersara dan mereka yang telah berpindah sekolah.
Di samping itu, majlis juga bertujuan untuk menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh para guru bagi pelajar mereka, pada masa yang sama menggalakkan guru-guru untuk memberi sokongan lebih baik kepada para pelajar dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Unit Sekolah Swasta, Bahagian Pengetahuan Ugama Islam (IRK), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Haji Yahya bin Haji Said yang dialu-alukan oleh pengerusi majlis, Awang Hardi bin Haji Lamat.
Dalam ucapannya, Haji Yahya menekankan pentingnya untuk bukan sahaja menghargai guru-guru yang telah bersara dan berpindah ke sekolah lain, malah mengingati mereka yang telah pergi.
Beliau berkata, majlis seumpamanya sentiasa disokong oleh Unit Sekolah Swasta dan sokongan berkenaan akan memastikan bahawa majlis akan datang dapat diadakan secara kerap bagi membantu mengeratkan semula hubungan antara guru-guru.
Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah dan hadiah kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan atas kerja keras dan dedikasi mereka.
Antara guru yang menerima anugerah ialah Hajah Ragimah binti Amat, Hajah Samilah binti Haji Sukor, Haji Hairil Astika bin Haji Tinggal, dan Awang Zaidillah bin Zainuddin.