Erdogan adakan perbincangan di Brussels

BRUSSELS, 9 MAC – Ketua-ketua EU telah mengadakan perjumpaan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini untuk memberi amaran kepada beliau supaya tidak mencetuskan krisis pelarian yang baharu di sempadan tenggara Turki, ketika negara-negara anggota masih mempertimbangkan untuk mengambil sebahagian dari kanak-kanak pelarian tersebut.

Pemimpin Turki itu dijangka berada di bandar EU untuk berbincang bersama presiden-presiden EU, Charles Michel dan Ursula von der Leyen dan ketua Nato, Jens Stoltenberg.

Ketua-ketua Eropah sedang mempertimbangkan untuk mengambil 1,500 kanak-kanak pelarian untuk meringankan beban kem pelarian di pulau Greece yang menghadapi kemasukan pelarian baharu dari Turki.

Tetapi Von der Leyen, Ketua Suruhanjaya Eropah, berkata tiada tawaran segera yang kukuh untuk dana baharu bagi menghidupkan semula perjanjian dengan Turki untuk mengekalkan para pelarian dari Syria dan seterusnya.

“Kami akan memulakan semula dialog,” kata beliau, menjelang mesyuaratnya bersama Erdogan, menambah akan ada ‘perbincangan dalam beberapa hari dan minggu akan datang.”

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika berucap di Istanbul sempena Hari Wanita Antarabangsa kelmarin. – AP

Ditekan sama ada lebih banyak wang akan ditawarkan untuk menenangkan kebimbangan Ankara, beliau berkata: “Saya sudah menjelaskan bahawa kami masih berada di peringkat permulaan, tiada angka yang telah dibincangkan pada permulaan ini.

Berpuluh-puluh ribu pelarian cuba untuk memecah keluar sempadan darat dari Turki selama tempoh seminggu selepas Ankara mengumumkan bahawa mereka tidak akan menghalang para pelarian dari menyeberangi memasuki Eropah.

Turki yang menjadi hos kepada hampir empat juta orang pelarian yang kebanyakan dari Syria, berulang kali menyatakan apa yang disebut sebagai beban yang tidak dikongsi sama rata.

Erdogan menyeru Greece untuk ‘membuka pintu masuk’ kepada para pelarian selepas polis Greece menggunakan gas pemedih mata dan semburan air untuk menghalau mereka dari sempadan.

“Saya harap saya akan pulang dari Belgium dengan keputusan berbeza,” Erdogan berkata dalam ucapan di Istanbul kelmarin tempat beliau mengumumkan perjumpaan itu. – AFP