Erdogan hos Putin, Rouhani bagi sidang Syria

ANKARA, 16 SEPT – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengalu-alukan rakan sejawatannya Rusia dan Iran hari ini bagi sidang kemuncak terkini mereka ke atas Syria, dengan perhatian tertumpu pada kemaraan Damsyik ke atas kubu Idlib yang ditawan pemberontak.

Presiden Vladimir Putin dan Hassan Rouhani bertemu Erdogan di bandar Ankara Turki bagi sidang kemuncak kelima mereka ke atas konflik itu sejak 2017.

Iran dan Rusia merupakan penyokong kuat Presiden Syria, Bashar al-Assad, sementara Turki telah menggesa bagi penyingkirannya dan menyokong pejuang pembangkang.

Namun kedudukan Assad dilihat semakin kukuh, keutamaan Turki telah beranjak untuk mencegah kemasukan besar-besaran para pelarian dari Idlib di barat laut Syria.

Turki bimbang berhubung kemaraan stabil pasukan Syria ke rantau itu, disokong oleh kuasa udara Rusia, meskipun beberapa kali gencatan senjata. Turki mempunyai 12 pos pemerhati di Idlib untuk menguatkuasakan persetujuan zon penampan yang dimeterai setahun lalu bersama Rusia bagi mencegah serangan skala penuh Syria.

Namun pos itu kelihatannya semakin terancam dengan salah satu daripadanya terputus daripada keseluruhan Idlib apabila pasukan Syria mara bulan lalu.

Serangan udara Rusia masih diteruskan di rantau itu meskipun gencatan senjata terbaharu antara Ankara dan Moscow pada 31 Ogos.

“Sejumlah besar pengganas masih lagi wujud di zon terbabit…dan para pejuang masih melepaskan tembakan ke arah kedudukan pasukan kerajaan,” kata penasihat Kremlin, Yuri Ushakov pada Jumaat.

Pihak presiden Turki berkata para pemimpin akan membincangkan perkembangan terkini di Syria serta ‘memastikan keadaan perlu bagi kepulangan pelarian secara sukarela dan membincangkan langkah bersama yang perlu diambil dalam tempoh akan datang yang bertujuan untuk mencapai penyelesaian politik terakhir.” – AFP

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) bertemu rakan sejawatannya Rusia, Vladimir Putin di Istana Presiden di Ankara pada 16 September. – AFP