ANKARA, 2 Ogos – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, kelmarin berkata dia akan menyokong hukuman mati jika parlimen mengemukakan cadangan berhubung perkara itu, lapor agensi berita China Xinhua.
Erdogan berkata demikian selepas satu serangan pengeboman, yang dipercayai dilancarkan oleh militan Kurdish, telah meragut nyawa seorang ibu dan anak damitnya pada Selasa lalu sekali gus mencetuskan kemarahan di seluruh negara itu.
Bercakap pada majlis pengebumian kedua-dua mangsa, Erdogan berikrar untuk terus memerangi pejuang Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang telah diharamkan ‘sehingga hanya tinggal pengganas yang terakhir.’
Dia mengulas desakan agar hukuman mati dikembalikan daripada anggota keluarga mangsa yang sedang berkabung.
Pada 31 Julai, sebuah bom yang ditanam di tepi jalan telah meletup menyebabkan isteri dan anak damit berusia 11 bulan seorang tentera Turki terbunuh di tenggara wilayah Hakkari.
Turki telah memansuhkan hukuman mati pada 2004 sebagai sebahagian daripada langkah untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU). – Bernama