Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erdogan kecam PBB, Israel gagal hentikan perang

    NEW YORK, 15 SEPT – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kelmarin mengecam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana tidak bertindak terhadap Gaza, menuduh Israel menjadikan wilayah Palestin itu sebagai ‘kubur terbesar untuk kanak-kanak dan wanita di dunia’.

    Beliau juga memberikan sokongan kepada Lubnan, di mana Israel telah melancarkan serangan secara meluas yang mensasarkan Hizbullah, sambil mengkritik kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana membawa rantau Timur Tengah lebih dalam ke arah peperangan.

    “Bukan sahaja kanak-kanak, tetapi juga sistem PBB sedang mati di Gaza,” kata Erdogan pada Perhimpunan Agung PBB di New York.

    “Kebenaran, nilai-nilai yang dikatakan oleh Barat untuk dipertahankan sedang mati. Saya bertanya secara terbuka. Hei organisasi hak asasi manusia, bukankah mereka yang berada di Gaza dan Tebing Barat manusia?”

    Erdogan mengkritik Majlis Keselamatan PBB kerana gagal mengarahkan penghentian pertempuran, dan berulang kali menyatakan “dunia lebih besar daripada lima,” merujuk kepada lima anggota tetap badan itu, termasuk sekutu terkuat Israel, Amerika Syarikat (AS).

    “Majlis Keselamatan PBB, apa yang anda tunggu untuk mencegah genosid di Gaza dan untuk mengatakan ‘berhenti’ kepada kekejaman ini?” katanya.

    Sebagai pengkritik yang lantang terhadap serangan Israel di Gaza, Erdogan mendesak komuniti antarabangsa untuk menghentikan “Netanyahu dan rangkaian pembunuhnya,” dengan membandingkan perdana menteri itu kepada Adolf Hitler dari Jerman Nazi.

    “Justeru, seperti mana Hitler dihentikan oleh aliansi kemanusiaan 70 tahun yang lalu, Netanyahu dan rangkaian pembunuhnya mesti dihentikan oleh ‘aliansi kemanusiaan’,” katanya.

    Mengenai gelombang serangan mematikan Israel ke atas Lubnan, pemimpin Turkiye itu berkata, “Apa lagi yang anda tunggu untuk menghentikan rangkaian pembunuhan yang membahayakan nyawa warganya sendiri bersama dengan rakyat Palestin dan menarik seluruh rantau ini ke dalam perang demi prospek politiknya?”

    Erdogan menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza, di mana pihak berkuasa menyatakan operasi Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 41,467 orang, sejak 7 Oktober.

    “Gencatan senjata segera dan kekal perlu dicapai, pertukaran tebusan perlu dilakukan, dan bantuan kemanusiaan perlu disampaikan ke Gaza dengan cara yang tidak terhalang dan tidak terputus,” katanya. – AFP

    Recep Tayyip Erdogan berucap ketika Sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat PBB di Bandar New York pada 24 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda