Erdogan mahu hubungan baik dengan AS

ANKARA, 21 FEB – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam berkata negara itu tetap mahu menjalinkan hubungan ‘menang-menang’ dengan Amerika Syarikat (AS), bagi mengakhiri keretakan hubungan dua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak beberapa tahun lalu.

Pemimpin Turki itu menekankan ‘kepentingan bersama Turki dan AS untuk mengatasi perbezaan’ menerusi pengukuhan hubungan diplomatik dengan kerajaan baharu AS pimpinan Presiden Joe Biden.

Dalam komen yang disiarkan dalam video di Twitter, Erdogan berharap dapat ‘memperkukuhkan kerjasama dengan pentadbiran baharu AS secara menang-menang’.

Turki sebelum ini agak skeptikal apabila Biden dipilih sebagai Presiden kerana bimbang hubungan Turki dan AS akan lebih keruh dalam beberapa isu.

Biden sebelum ini mengumumkan keutamaan baharu pentadbirannya dalam mempromosikan demokrasi, namun AS dan Turki diketahui mempunyai perselisihan.

Bekas Presiden, Donald Trump sebelum ini mengenakan sekatan ke atas industri pertahanan Turki selepas Erdogan membeli sistem peluru berpandu canggih S-400 milik Russia.

Pada Isnin lalu, Turki menuduh AS telah menyokong ‘pengganas’ dan memanggil duta besarnya selepas Washington menolak untuk menyokong dakwaan Ankara yang militan Kurdish telah membunuh 13 warganegara Turki di Iraq.

Washington berusaha untuk meredakan pertikaian diplomatik itu dengan menjelaskan, ia menerima dakwaan Ankara bahawa ‘pengganas’ PKK Kurdish telah membunuh 13 orang Turki di Iraq. – AFP