Saturday, January 28, 2023
23.2 C
Brunei

-

Erdogan teruskan rundingan tamatkan konflik Rusia-Ukraine

ANKARA, 9 DIS – Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pada hari ini Turkiye akan meneruskan usahanya untuk menyelesaikan konflik Rusia-Ukraine dan akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari kedua-dua negara dalam masa terdekat.

“Bagi menamatkan krisis ini, saya akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Ahad dan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky,” kata Erdogan pada Forum Dunia TRT di Istanbul, lapor agensi Anadolu.

Erdogan berkata Turkiye mahu mengukuhkan lagi perjanjian koridor bijirin yang diusahakan Turkiye pada musim panas selepas kesepakatan itu terhenti pada Februari disebabkan perang Rusia terhadap Ukraine.

Pada 22 Julai, Turkiye, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian penting di Istanbul untuk menyambung semula eksport bijirin dari tiga pelabuhan Laut Hitam Ukraine.

Perjanjian itu dilanjutkan selama 120 hari lagi bermula 19 November, beberapa hari sebelum tempoh yang dijadualkan tamat.

Forum Dunia TRT 2022, acara tahunan dua hari itu bermula di Istanbul pada hari ini, anjuran badan penyiar kebangsaan Turki, TRT.

Perhimpunan bertemakan ‘Memetakan Masa Depan: Ketidakpastian, Realiti dan Peluang’ itu menghimpunkan ahli akademik, wartawan, intelektual, ahli politik dan ahli masyarakat sivil dari seluruh dunia. – Bernama

Seorang tentera Ukraine melepaskan tembakan ke arah kedudukan Rusia di luar Bakhmut pada 8 November 2022 di tengah serangan Rusia di Ukraine. – AFP
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -