Erdogan, Trump bertemu 13 November

ANKARA, 7 NOV – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan pertemuan mereka di Washington DC 13 November ini ketika berbual di telefon semalam.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan serantau dan isu-isu dua hala, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Direktorat Komunikasi Presiden Turki. “Baru sahaja berbual dengan Presiden Erdogan dari Turki. Beliau memaklumkan saya bahawa mereka telah menahan ramai pejuang Daesh yang dilapor melarikan diri semasa konflik – termasuk isteri dan saudara perempuan pengganas al-Baghdadi,” kata Trump menerusi Twitter, merujuk kepada pemimpin Daesh yang terbunuh. Abu Bakr al-Baghdadi telah meletupkan dirinya sendiri semasa serbuan pada 26 Oktober oleh pasukan tentera AS di wilayah Idlib, Syria. Turki telah mengesahkan  semalam bahawa mereka menahan isteri dan saudara perempuan pemimpin Daesh itu.

“Tidak sabar untuk bertemu Presiden Erdogan pada Rabu depan, 13 November di Rumah Putih,” kata Trump. Sementara itu, Erdogan menulis di Twitter bahawa perbualan telefon mereka adalah ‘efisien’ dan membincangkan hubungan dua hala dan isu di rantau ini. – Bernama