Erdogan tuduh Barat ‘sokong pengganas’

ISTANBUL, 21 OKT – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini membidas negara Barat, menuduh mereka ‘menyokong pengganas’ dan gagal menyokong operasi Turki menentang pejuang Kurdish Syria.

“Bolehkah anda bayangkan seluruh negara Barat menyokong pengganas dan menyerang kami termasuk anggota negara NATO dan negara Kesatuan Eropah?” kata Erdogan di Istanbul.

“Sejak bila kamu mula berpihak kepada keganasan? Adakah tentera Kurdish Syria (PYD-YPG) menyertai NATO dan kami tidak tahu mengenainya?” tanya beliau. Ankara berkata YPG ialah cabang ‘pengganas’ Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang telah melancarkan pemberontakan dalam Turki sejak 1984.

PKK disenaraihitam sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah.

Tindakan tentera Ankara ke atas tentera Kurdish yang memainkan peranan penting dalam kempen menentang kumpulan Islamic State (IS) telah menerima kritikan antarabangsa dan mendorong beberapa negara NATO menggantung penjualan senjata baharu. Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg telah menyuarakan ‘kebimbangan serius’ mengenai operasi tentera yang dilancarkan pada 9 Oktober untuk menyingkirkan tentera Kurdish Syria dari sempadan.

Turki telah mengumumkan penggantungan serangan 120 jam berikutan satu perjanjian dengan Naib Presiden AS Mike Pence, di mana pejuang Kurdish berundur untuk membenarkan ‘zon selamat’ ditubuhkan di sepanjang sempadan. – AFP

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bercakap pada forum yang dianjurkan oleh penyiar Turki TRT di Istanbul, kelmarin. – AP