Erdogan tutup universiti di Istanbul

ISTANBUL, 30 JUN – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan telah mengarahkan penutupan sebuah universiti di Istanbul yang dikaitkan dengan pencabar dan bekas perdana menteri, menurut satu dekri yang disiarkan hari ini.

Universiti Sehir Istanbul ditubuhkan pada 2008 oleh sebuah yayasan di mana pengasasnya termasuk bekas perdana menteri Ahmet Davutoglu tetapi ia dibelenggu kontroversi selepas beliau keluar daripada parti pemerintah Erdogan pada September.

Davutoglu pada Disember menubuhkan Parti Masa Depan yang dikatakan oleh pakar merampas pengundi daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Erdogan. Aset universiti pertama kali dibeku pada akhir tahun lalu apabila sebuah mahkamah di Istanbul membuat keputusan tersebut dalam perbalahan mengenai bayaran dengan Halkbank.

Seterusnya kawalan universiti, dimiliki oleh Yayasan Sains dan Sastera (BISAV), dipindahkan kepada Universiti Marmara pada Disember sebelum kerajaan mengambil alih BISAV sendiri pada Januari dengan menubuhkan pemegang amanah.

Satu dekri presiden yang ditandatangani oleh Erdogan semalam tetapi disiarkan semalaman, berkata ‘kebenaran universiti untuk menjalankan sebarang aktiviti telah ditarik balik.’

Davutoglu rapat dengan Erdogan sebelum ini dan berkhidmat sebagai menteri luar tetapi kedua-duanya berselisih pendapat berhubung pelbagai isu dan beliau dipaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Mei 2016. – AFP